Erma yang kini berada di sana memberitahu, undangan itu diterima ketika dia terlibat dengan Asia Islamic Fashion Week di Kuala Lumpur, April lalu.

“Waktu itu, Alia Khan daripada Islamin Fashion Council menawarkan peluang untuk ke Itali dan saya terima walaupun agak mengganggu perjalanan puasa dan sambutan raya.

“Kasihan kepada keluarga saya tetapi untuk pengalaman dan mahu meletakkan jenama Mak Cun ke peringkat antarabangsa, saya ambil peluang itu,” katanya.

Erma berada di sana sehari selepas sambutan Syawal dan akan pulang semula ke tanah air pada 6 Jun.

Selain Mak Cun, Insaniah dan Dyan adalah jenama tempatan yang turut berpeluang memperagakan koleksi busana mereka di minggu fesyen tersebut.

Ditanya sama ada dia mahu lebih serius dalam dunia fesyen, Erma mengakui, yang dilakukan kini adalah hanya kerana minat semata-mata.

“Saya bukan mahu menjadi pereka fesyen tetapi saya lakukan ini kerana saya sukakan fesyen. Memang tiada niat untuk serius.

“Namun mendapat peluang ini merupakan satu pengalaman baharu dan jika Allah buka ruang lagi untuk Mak Cun, saya akan terima,” jelasnya.

Selain fesyen, Mak Cun juga memiliki kedai runcit Mak Cun Mart dan drama siri Mak Cun yang kini sudah memasuki musim ketiga tayangannya di kaca televisyen.

Baru-baru ini juga, drama tersebut mendapat kritikan masyarakat dek kerana gaya dan loghat yang digunakan seperti tidak melambangkan penduduk utara yang sebenar.

“Saya tidak paksa untuk orang suka Mak Cun, begitu juga untuk paksa orang menghargai yang saya lakukan pada industri atau negara.

“Apatah lagi orang seni ini jarang dihargai semasa hidupnya. Mungkin esok bila saya sudah mati, baru orang akan kata Mak Cun karya agung sebagai contoh.

“Penonton nak marah atau tak suka, saya terima sahaja. Saya cuba baiki apa yang mampu,” jelasnya.

Cuma menurut Erma, jika komen itu melampau-lampau hingga menghina dan mengeji, dia mengambil langkah untuk tidak melayannya. - UTUSAN ONLINE