Tidak mahu terus hanyut dengan pelbagai pujian, Mira mengaku tidak pernah terlintas untuk melakukan sebarang rawatan untuk mengubah bentuk wajahnya menjadi lebih jelita.

“Peminat sentiasa mahu lihat artis tampil cantik sedangkan mereka tidak tahu susahnya mahu kekalkan kecantikan. Jadi saya faham situasi artis lain yang melakukan perubahan pada muka mereka.

“Bagi saya itu hak masing-masing. Saya tidak boleh komen lebih kerana kita tidak tahu keperluan orang lain sebab tidak berada di tempat mereka,” luah Mira.

Menurut Mira, dia lebih senang melakukan rawatan wajah secara tradisional dan menghabiskan masa di spa dan itu sudah memadai.

“Alhamdulillah, setakat ini saya tidak buat apa-apa pada muka. Jujurnya, saya tidak pernah terfikir untuk melakukan pembedahan.

“Saya lebih suka buat rawatan muka secara tradisional. Tak perlu bersusah payah kerana perkhidmatannya boleh didapati di mana sahaja. Ia bagus untuk membersihkan dan menyegarkan kulit dan paling seronok apabila wajah kita diurut. Rasa tenang sangat,” ujarnya.

Jelas Mira, dia sangat selektif kerana khuatir rawatan yang dilakukan itu akan meninggalkan kesan sampingan pada wajahnya.

“Saya takut melakukan rawatan moden kerana risau jika memberi kesan kurang elok pada wajah.

“Macam-macam boleh jadi apabila kita terlalu banyak menggunakan bahan kimia. Apa-apapun itu hak masing-masing,” luahnya lagi.

Bakal bergandingan dengan Remy Ishak dan Zul Ariffin menerusi filem Sangkar, Mira teruja untuk mendengar maklum balas peminat dan penonton tidak lama lagi.

“Saya akan bawa watak Memey, iaitu satu-satunya ‘bunga’ atau perempuan dalam filem ini. Kalau ikutkan inilah gandingan pertama saya dan Remy.

“Gandingan kali pertama ini tidaklah susah sangat kerana kami bawa watak sebagai adik dan abang. Jika sebelum ini agak berat kerana kami jadi pasangan kekasih dalam drama.

“Bercakap pasal filem Sangkar, penggambaran filem ini agak mencabar bagi saya kerana perlu memberi komitmen kepada drama lain ketika itu. Apa-apapun saya sudah memberikan yang terbaik hasil kerjasama dengan pihak produksi yang sangat bagus,” katanya.

Disoal tentang hubungan bersama Remy, jelas Mira, mereka masih berstatus kawan dan tiada yang istimewa dalam perhubungan itu.

“Ingin saya katakan sekali lagi walaupun sudah berkali-kali menjelaskannya, saya dengan Zizan dan Remy tidak ada apa-apa hubungan istimewa. Kami berkawan.

“Saya banyak belajar tentang pengacaraan daripada Zizan. Dia juga tidak kedekut ilmu untuk berkongsi pengalamannya. Begitu juga Remy, seronok bekerjasama dengannya dan saya tidak kisah jika digandingkan lagi pada masa akan datang,” luah Mira.