Lakaran yang dihasilkan dalam bentuk karikatur yang pernah dimuatkan dalam majalah humor Gila-Gila yang amat diingati ialah Din Beramboi yang mana pada ketika itu, beliau berkhidmat mencurahkan ideanya selama satu dekad di majalah berkenaan.

Ujang yang popular dengan komik Aku Budak Minang, melangkah meneruskan bakatnya sebagai kartunis dengan menghasilkan Majalah Ujang dan seterusnya menerobos bidang animasi dengan menghasilkan Usop Sontorian.

Perjalanan karier pilihan anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini berhadapan dengan cabaran apabila hasil karyanya tidak dipatern atau didaftar di bawah Harta Intelek olehnya.

Disebabkan kedangkalannya, Ujang bukan sahaja hilang hak ke atas watak-watak kartun ciptaannya tetapi juga diheret ke mahkamah apabila timbul isu hak karya dan harta intelek.

Jujur dan polos, kata Ujang, beliau menyangka apabila menghasilkan sesuatu watak kartun, ia menjadi miliknya.

Namun apa yang berlaku adalah disebaliknya dan beliau berputih mata apabila tuntutan 30 peratus perkongsian keuntungan gagal diperoleh.

"Sekitar tahun 1994/1995, saya tidak tahu tentang hak milik atau karya intelek. Saya naif sangat. Saya keluarkan Majalah Ujang dan majalah itu terjual 386,000 naskhah sebulan.

"Selepas tiga tahun, saya ada 30 peratus perkongsian keuntungan atau profit sharing. Apabila saya menuntut hak saya itu, mereka minta bukti yang mengatakan Ujang itu saya yang punya.

"Isu tuntutan itu berlarutan sehingga ke mahkamah dan tempohnya sangat lama. Proses saya disaman dan pada tahun 2000, saya muflis dan berhutang sebanyak RM1.8 juta dengan syarikat percetakan.

"Dari situ baru timbul kesedaran bahawa setiap karya mesti didaftar di bawah Harta Intelek tetapi disebabkan undang-undang begitu, saya hilang hak ke atas karya-karya saya," katanya yang percaya, orang ramai mengetahui beliaulah Ujang.

Cerita Ujang yang hadir sebagai tetamu Mornik Blues dan disiarkan secara langsung di Facebook Utusan Online pagi tadi, ketika beliau mula-mula bekerja dengan Majalah Gila-Gila, pemilik majalah tersebut, Jaafar Taib telah mengasuh kartunis membuat cerita tentang merdeka, lawak merdeka, kulit muka depan merdeka.

"Waktu tu, mulanya kita tak tahu dan tak suka tetapi lama kelamaan, setelah diasuh begitu, tiba Hari Merdeka, saya akan buat," katanya mengimbau kembali zaman dahulu ketika bekerja di majalah Gila-Gila dengan prinsip, ala bisa tegal biasa.

Tidak hairanlah jika hari ini, Ujang kartunis yang konsisten menghasilkan karya yang menjurus kepada semangat patriotisme, masyarakat yang majmuk, berbilang bangsa, kaum dan agama.

UJANG
 

"Bahkan dalam Usop Sontorian, ada watak-watak Melayu, India, Cina dan watak Singh. Tidak ada unsur perkauman atau jurang. Inilah yang perlu diterapkan dalam karya kartun hari ini," katanya yang mengakui, sindiran tajam melalui kartun adalah hak dan pandangan individu.

Kata Ujang yang memiliki barangan atau merchandise berupa t-shirt, masyarakat tidak harus terlalu emosional, berpandangan terlalu kritis kerana kartun-kartun berupa kritikan adalah perkara biasa.

"Kecuali kartun itu tidak berasas, terlalu menghina, bersifat provokasi keterlaluan, itu pastinya tidak baik," katanya. - UTUSAN ONLINE