Cakap fasal rest (rehat) ini, Nora memang tidak ada rest pun. Hehe. Pasti ada yang nak tau apa yang Nora buat sejak kebelakangan ini. Buat masa ini Nora lebih banyak menghabiskan masa dengan kerja-kerja yang berkaitan dengan perniagaan. Ini terutama penglibatan OwlbyND buat kali pertamanya pada Malaysia Fashion Week 2016 - MFW2016 yang akan bermula 3 November hingga 5 November di Matrade, Jalan Duta, Kuala Lumpur. Sekali gus menyambut ulang tahun OwlbyND yang sudah setahun di pasaran. Alhamdullilah... pemilihan fabrik, rekaan setiap busana direka khas untuk MFW ini. Dengan tema Glam Vintage OwlbyND tampil dengan sedikit kelainan. I’m so excited! (saya sangat teruja!) Terima kasih juga kepada Jakel Shah Alam, Selangor kerana banyak membantu dalam memilih fabrik yg sesuai dengan rekaan busana.

Penglibatan Nora dalam dunia fesyen ini membuatkan Nora jadi lebih semangat untuk sama-sama menaikkan lagi nama Malaysia di persada antarabangsa. Walaupun masih jauh lagi tetapi angan-angan ini akan Nora jadikan kenyataan. Insya-Allah.

Dengan semangat dan cita-cita itu, Nora meluaskan lagi perniagaan Nora yang tidak hanya kepada pakaian muslimah dan juga hijab. Kepada yang mengikuti Nora di Instagram, twitter malah facebook, mungkin ada yang telah tahu mengenai Owltalons Flat ;) Ini merupakan satu lagi keluaran terkini barangan di bawah jenama OwlbyND. Bagaimana tercetusnya nama Owltalons? Talons - “a claw, especially one belonging to a bird of prey.“ (Talons - cakar terutama yang dimiliki oleh burung pemangsa) Cute (comel) kan?

Dengan adanya kepelbagaian barangan di bawah jenama OwlbyND, Nora mengharapkan agar perniagaan Nora berkembang dengan majunya dan menjadi sebuah empayar. Insya-Allah. Status ibu tunggal sebenarnya bermaksud ibu-ibu yang independent (berdikari). Seharusnya Nora mewakili ibu-ibu tunggal di luar sana masakan Nora tidak memberi sehabis baik untuk membuktikan tahap kematangan dan kebolehan kami sebagai wanita. Girl power! (kuasa wanita!) Cewah. Dengan adanya minat, Nora percaya yang kita impikan itu akan menjadi kenyataan dengan izin-NYA. Jadi ibu-ibu di luar sana jangan tersekat untuk melakukan yang anda impikan.

Ok nak cerita sedikit bagaimana bermulanya perniagaan ini. Pada awalnya perniagaan ini hanyalah sebagai satu percubaan bagi Nora dan adik-beradik yang lain. Dengan tiada pengalaman kami mencuba. Kami tidak hanya mencuba sebegitu sahaja sebaliknya turut mendapat khidmat nasihat daripada mereka yang lebih berpengalaman dalam bidang perniagaan ini. Memang tidak dinafikan sering kami dengar suara-suara manja yang mengatakan perniagaan yang kami cuba ini hanyalah untuk suka-suka. Tetapi sehari ke sehari saya melihat percubaan ini menjadi sebagai sebuah perniagaan yang mula berkembang. Kami adik-beradik mula melihat ke arah yang lebih ke hadapan apabila kami mula memikirkan idea serta perancangan yang teliti dalam menghasilkan produk-produk di bawah jenama OwlbyND.

Bermula dengan koleksi shawl dan tudung kemudiannya ke pengeluaran jubah serta koleksi baju raya dan seterusnya pakaian kasual, melihat daripada permintaan yang sangat baik, kami adik-beradik mula memikirkan bahawa jenama OwlbyND perlu mempunyai one step centre (pusat sehenti) menempatkan kesemua koleksi serta produk di bawah jenama OwlbyND. Alhamdulillah kini OwlbyND telah pun mempunyai sebuah butik “Nora Danish” di Bangi Sentral ;) Betul kata-kata orang tua dahulu, bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Dengan adanya butik ini menguatkan Nora untuk lebih berusaha menjadikan jenama OwlbyND ini sebaris dengan jenama-jenama fesyen yang ada. Insya-Allah.

Nora juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada stokis-stokis OwlbyND di seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura yang turut sama menyumbang kepada kejayaan OwlbyND pada hari ini. Stokis-stokis inilah yang memerah keringat dan tenaga membuat promosi serta memajukan lagi perniagaan yang Nora anggap sebagai cinta hati ini ;) Sentiasa menyokong dengan setiap keluaran terkini OwlbyND. Terima kasih sekali lagi buat anda semua stokis tercinta. Begitu juga dengan pasukan OwlbyND yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjadikan OwlbyND sebahagian daripada jiwa kita semua sebagai satu pasukan ;)

Back to Malaysia Fashion Week (kembali kepada Minggu Fesyen) ;) Ya, Nora sangat teruja dengan acara ini kerana Nora pasti ini merupakan platform terbaik untuk Nora melebarkan sayap OwlbyND ke satu tahap yang lebih baik. Semestinya harapan Nora dengan adanya peluang sebegini akan digunakan sebaik mungkin oleh pasukan OwlbyND untuk memastikan yang terbaik.

Terima kasih kerana pembaca semua dapat meluangkan sedikit masa untuk bersama-sama Nora di ruangan ini. Sekian untuk minggu ini, jumpa di minggu depan! Jika ada sebarang cadangan yang mahu Nora tulis, bolehlah komen di Instagram Nora. I will take note (saya akan ambil perhatian). Sekian.