Sama seperti penyanyi Syafiq Farhain yang sudah memasang banyak impian untuk masa depannya.

Syafiq Farhain

Antara impian emas Syafiq atau nama sebenarnya Nursyafiq Farhain A.M Salim, 25, adalah mahu menyanyikan semula lagu-lagu arwah ayahnya yang juga vokalis Iklim, Allahyarham Saleem.

“Niat mahu merakamkan semula lagu arwah ayah bersama kumpulan Iklim itu memang ada. Iyalah, saya tidak berpeluang untuk berduet bersama arwah ketika hayatnya masih hidup.

“ Jadi sebagai anak, tentu satu pengalaman manis jika dapat merakamkan lagu-lagu nyanyiannya. Selain ia bagus untuk perkembangan kerjaya saya, ini juga salah satu impian saya sebagai anak kepada arwah.

“Apa-apa pun, perancangan ke arah itu belum ada lagi buat masa sekarang kerana ia melibatkan banyak pihak dan kos.

“Lagi pun, saya perlu selesaikan beberapa komitmen yang telah ditetapkan syarikat rakaman terlebih dahulu.

“Insya-Allah, kalau ada rezeki pasti tak ke mana. Kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan,” kata Syafiq.

Selain mahu merakamkan lagu Saleem, Syafiq juga sudah menyusun strategi untuk menggapai impian-impiannya yang lain. Baginya, apa yang dihajatkan perlu diusahakan dari sekarang.

Antaranya ialah menjayakan konsert solo jelajah Malaysia dan Indonesia dan menjadi sebahagian penyanyi tempatan yang disukai di Tanah Seberang.

“Impian peribadi pula, saya mahu membahagiakan keluarga dan membawa ibu mengerjakan haji,” ujar Syafiq yang popular dengan lagu Sayang Maafkan Aku, Kamar Hati, Demi Setia dan Manis-Manis Cinta duet bersama Baby Shima.

Terbaharu ialah dia bakal tampil dengan sebuah lagu promosi negeri Terengganu yang akan disiarkan menerusi rancangan televisyen berbentuk travelog.

“Lagu ini jugak dicipta khas untuk rancangan travelog saya yang berjudul Ape Lagi Terengganu Lah. Apa yang istimewa, saya turut menulis lirik bersama Rumnan dan bekerjasama dengan composer hebat, Harry Khalifah.

“Lagu Pakat Maghi Ganu ini adalah lagu yang menggunakan loghat rakyat Terengganu yang menceritakan keindahan tempat, budaya dan makanan sedap-sedap di Terengganu,” katanya.

Antara tempat menarik yang ditonjolkan ialah kampung nelayan Kuala Kemaman, Pantai Teluk Bidara, Masjid Tengku Tengah Zaharah atau Masjid Terapung, Batu Buruk, Pasar Kedai Payang, Tasik Kenyir dan banyak lagi.

“Kalau nak cerita apa yang seronok di Terengganu, terlalu banyak sebenarnya. Makanan, pusat pelancongan termasuk pulau-pulau yang menjadi tarikan ramai juga ada di Terengganu,” ujar Syafiq.

Program Ape Lagi Terengganu Lah disiarkan pada setiap Selasa, pukul 3 petang di TV Okey.

Selain menyanyi, Syafiq juga mencuba nasib dalam lakonan. Syafiq akan muncul dalam Hero The Movie: Jangan Bikin Panas yang bakal ditayangkan pada 3 Oktober depan.

“Saya bawa watak sebagai pegawai kanan bomba. Walaupun saya melakonkan watak pekerjaan sendiri, namun ia tidak sama apabila difilemkan. Banyak cabarannya, tambah pula saya pertama kali berlakon.

“Terima kasih kepada pihak produksi NS Star kerana memberi peluang untuk saya mengorak langkah dalam bidang lakonan,” katanya mengakhiri perbualan.