Meskipun sering diberikan watak sama, namun Dayana atau nama sebenarnya Nur Dayana Kamsun Baharin tidak kisah asalkan masih menerima tawaran dalam industri seni tanah air.

 

“Kerja saya 100 peratus adalah berlakon sebab saya tiada sumber lain. Hanya mengharapkan duit hasil lakonan semata-mata.

“Jadi, saya memang kena berlakon walaupun lepas habis penggambaran kemudian masuk set baharu, kena bawa watak yang sama.

“Jujurnya saya langsung tak kisahpun jika berkali-kali diberikan watak yang sama. Tiada istilah jemu atau bosan dalam kamus hidup saya.

“Iyalah, kalau ketika itu saya terlalu memilih, saya banyak bil yang perlu dibayar. Nanti nak bayar dengan apa kalau demand sangat?” ujarnya berkongsi rasa hati ketika bertandang ke Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, baru-baru ini.

Sementara itu, ketika diselami secara lebih mendalam isi hatinya, pelakon berusia 28 tahun ini mengakui menginginkan watak yang lebih mencabar sepanjang 10 tahun bergelar aktres.

“Saya rasa setiap pelakon pasti ada menyimpan impian untuk bawa watak yang diinginkan. Kalau ditanya saya nak bawa watak perempuan psiko.

“Selain itu, saya sukakan karakter seorang wanita yang sebenarnya memiliki personaliti jahat tetapi bila di depan orang, pijak semutpun tak mati.

“Pernah juga saya suarakan nak bawa watak lain. Okey, diberi peluang bawa watak perempuan baik tetapi selepas itu macam bermusim pula saya kena pegang karakter sama untuk beberapa drama lain,” katanya.

Beralih cerita tentang perkembangan terbaharunya, Dayana bakal muncul dengan sebuah filem berjudul Kron yang diarahkan oleh Opie Zami.

Filem yang berlatarbelakangkan kisah Kerajaan Kedah Tua yang menghantar bunga emas kepada Siam dan plot penceritaannya dikembangkan menjadi sebuah filem fiksyen itu akan menemui penonton pada 22 Ogos ini.

“Saya memegang watak sebagai Mulia Suri yang digambarkan sebagai seorang yang penuh dengan dendam, marah serta sedih dengan apa yang terjadi dan ada muslihat yang tersirat.

“Boleh dikatakan filem Kron menjanjikan satu kelainan kepada penonton. Mereka dapat belajar sejarah seperti bunga emas yang diberikan Kerajaan Kedah Tua kepada Siam.

“Cabarannya pula adalah kami perlu menjalani penggambaran di kawasan gunung pada waktu malam.

“Pada mulanya memang membuatkan saya agak takut dengan lokasi-lokasi yang dipilih, namun lama-kelamaan saya sudah dapat membiasakan diri,” kongsinya.

Selain Dayana, Kron turut membariskan barisan pelakon antaranya Zahiril Adzim, Arman Graseka dan Ruminah Sidek.