Mengumpulkan lima lagu bersama Azie Mustapha, Adela, Haslinda dan Norlie Tamam dalam satu album yang diberi nama #5 Suara Artis 90-an, Mac Ruhayu juga bekerjasama dengan Azura Aziz dalam mengeluarkan single penyanyi kelahiran Negeri Sembilan ini.

“Sememangnya pada asal pembikinan album #5 Suara Artis 90-an kami memilih untuk meletakkan enam artis. Namun setelah berbincang dan meneliti keperluan masing-masing kami ambil keputusan untuk mengasingkan single Azura daripada album ini.

“Tiada niat apa-apa. Kami melihat Azura mempunyai pengalaman dan bantuan suami yang juga mempunyai pengalaman dalam bidang muzik. Jadi dia boleh bergerak sendiri. Namun dari segi promosi, kami adakan bersama kerana kesemuanya adalah dari gugusan anak seni 90-an,”jelas Mac Ruhayu.

Tidak pernah berniat untuk bersaing sesama sendiri, Mac Ruhayu menjelaskan bahawa hubungan antara keseluruhan artis yang pernah popular pada era 90-an sangat baik dan akrab.

“Itu beza antara artis lama dan baharu. Hubungan kami sentiasa baik malah kami sentiasa berhubung dan saling bertanya khabar.

“Tidak terdetik langsung untuk bersaing sesama sendiri, bahkan kami turun padang sekiranya salah seorang daripada kami muncul dengan sebarang produk,” jelas Mac Ruhayu.

Kembali berumah tangga

Selama 13 tahun menjalani kehidupan sendirian ditemani dua orang anak lelaki, Mac Ruhayu kini terbuka hati untuk mendirikan rumah tangga semula bersama Sulaiman Mohammad, 54.

Bakal melangsungkan pernikahan pada 27 Mac ini di Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Selangor, Kuala Kubu Bharu, Mac Ruhayu berkata, ia satu keputusan yang sukar dalam kehidupannya.

“Saya masih terkejut dengan lamarannya kerana sudah menganggapnya seperti adik-beradik. Namun dia adalah jodoh yang dikirim Allah untuk saya.

“Saya mengambil masa seminggu untuk menerima lamarannya kira-kira dua minggu yang lalu. Malah, saya tidak henti-henti menangis kerana ia satu keputusan yang sukar,” jelas Mac Ruhayu.

Kongsi Mac Ruhayu, perasaan takut masih wujud dalam dirinya apatah lagi apabila memikirkan soal tanggungjawab seorang isteri yang selama ini telah ditinggalkan.

Istimewanya, kesemua urusan perkahwinan mereka diuruskan sendiri oleh anak-anaknya dengan dibantu oleh keluarga dari Sarawak dan Rawang.

“Saya tidak berharap banyak, asalkan dia memahami kerjaya saya sebagai artis dan dapat menerima anak-anak saya seadanya sudah memadai.

“Saya memilih dia kerana banyak membantu kehidupan saya selama ini. Setiap kali menemani saya ke mana-mana lokasi dia bukan sahaja menjaga saya bahkan rakan-rakan disekeliling. Sifatnya itu buat saya yakin dia adalah suami yang terbaik,”jelasnya.

Saingan penyanyi muda

NAMANYA pernah meniti di bibir peminat menerusi lagu popular Sehati dan Sejiwa yang dihasilkan pada 1998. Lagu itu terus mencetuskan fenomena apabila dijadikan lagu tema drama bersiri popular Cinderella yang menggandingkan Haliza Misbun dan Ahmad Idham selaku teraju utama.

Selepas dikenali menerusi lagu Sehati dan Sejiwa, penyanyi kecil molek bersuara lantang berasal dari Klang, Selangor ini terus menyepikan diri. Namun, sekian lama menghilang, Haslinda merancang membuat kemunculan semula dalam bidang nyanyian.

“Saya memang rindu menyanyi walaupun telah lama tinggalkan bidang ini tapi saya sentiasa mengikuti perkembangan hiburan. Ketika Mac Ruhayu menyuarakan cadangan untuk buat single terbaharu untuk kami, terus sahaja bersetuju.

“Selepas mendengar lagu-lagu yang diberi oleh Rosli Ahmad, saya tertarik dengan satu muzik dan saya pilihnya sebagai single terbaharu saya yang berjudul Ku Masih,” luah Haslinda yang membawakan lagu dan lirik ciptaan Rezzuan Zaizi.

Bukan sengaja mahu menghilangkan diri ketika namanya sedang melonjak naik dahulu, tetapi jelas Haslinda, dia terpaksa berbuat demikian kerana mengikut suaminya yang berpindah ke Terengganu atas urusan kerja.

“Suami saya pegawai bank, jadi terpaksa berpindah mengikut keperluan dan arahan pejabatnya. Sepanjang tempoh itu, saya hanya bertugas sebagai suri rumah. Kini apabila saya menyatakan hasrat untuk kembali menyanyi, suami memberikan sokongan penuh.

“Setelah hampir 11 tahun tidak merekodkan apa-apa lagu di dalam studio, memang ada rasa janggal, namun saya gembira dapat melakukannya bersama rakan-rakan baik. Mereka banyak membantu dan memberi tunjuk ajar,”luah Haslinda yang percaya bakatnya dalam seni suara masih utuh dan mampu memberikan saingan kepada penyanyi-penyanyi muda.

Kerinduan pada Malaysia

DIKENALI dengan lagu Bukan Ku Tak Sayang Lagi sekitar awal tahun 1990-an, penyanyi jelita ini telah menyepikan diri setelah berkahwin dengan jejaka berasal dari Kaherah, Mesir, Cheb Ali Masrawi pada 2003.

Selepas sedekad bermastautin di Mesir, Azura dan suami mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia pada Disember tahun lalu dengan membawa tiga orang anak lelaki, Seiful Islam, 15, Safiyurrahman, 13, dan Nusratuddin, 4.

Rindu akan seni muzik yang ditinggalkan sebelum ini, Azura kini muncul dengan single terbaharu yang berjudul Di Setiap Mahu Mu bagi mengembalikan memori peminat-peminatnya dahulu.

“Kemunculan single ini adalah mahu menyatakan kepada umum bahawa kami (artis-artis 90-an) masih wujud dalam ruang udara seni dan muzik. Bakat kami masih diminati dan kami juga masih aktif dalam industri ini.

“Walaupun saya dan suami jauh di tanah Arab, namun di sana kami masih aktif dengan muzik. Selalunya jika ada majlis-majlis tertentu atau permintaan, saya akan menyanyikan lagu-lagu tradisional Melayu untuk mereka di sana,”jelas Azura.

kerinduan suami

Menjalankan syarikat yang diberi nama Layar Sutera adalah usahasama bersama suami.

Jelas Azura, suaminya sangat cintakan Malaysia dan kepulangan mereka ke negara ini disebabkan kerinduan suami untuk tinggal di Malaysia.

“Sebelum berkahwin memang suami saya bekerja di Cameron Highlands, Pahang sebagai pemuzik. Tak sangka selepas bertahun pulang ke Mesir, suami nyatakan hasrat untuk balik ke Malaysia dan menetap terus di sini.

“Beberapa kali saya bertanya kepadanya betulkah keputusannya untuk menetap di Malaysia? Jawapannya sama, dia terlalu rindu Malaysia dan jiwanya ada di sini.

“Alhamdulillah, proses pertukaran sekolah anak juga berjalan dengan mudah dan kami juga sudah ada pekerjaan di sini,” jelas Azura.