Seperti mana lagu, begitu juga pemiliknya. Usia 73 tahun masih kekal bergelar veteran ternama. Sering menjadi rujukan atas kapasiti seninya yang luas, dia ibarat ketua keluarga dalam industri seni suara tanah air.

Tidak lokek berkongsi rasa, ilmu dan kudrat menjadikan sosok nama Datuk A. Rahman Hassan atau nama sebenarnya Abdul Rahman Hassan, begitu hebat dalam industri ini.

Pemergiannya akibat jangkitan kuman pada paru-paru dan lemah jantung, disifatkan sebagai satu kehilangan besar bagi dunia seni tanah air.

Beliau kerap menjadi tempat rujukan insan-insan seni muda yang lain, tidak ketinggalan rakan-rakan artis seusianya kerana kematangan dan buah fikiran yang bernas.

Selaku Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (PAPITA), insan ini dihormati dan menjadi penasihat kepada banyak persatuan seni yang lain.

Arwah sebelum ini ditempatkan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Ampang akibat pendarahan otak dan angin ahmar namun dikhabarkan kritikal oleh anak sulungnya, Khairulizam Abdul Rahman atau Khir Rahman, 46, sejak Selasa lalu.

Arwah hanya bergantung sepenuhnya terhadap mesin bantuan pernafasan.

Menurut Khir, bapanya menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan yang amat tenang di samping isteri, Datin Fadilah Mansor dan kedua-dua anaknya.

Mengimbas detik terakhir bersama A. Rahman, Khir berkata bapanya sempat bergurau dengan cucu lelakinya, Irwanshah Khairulazmi agar menyambut hari ulang tahun kelahiran kedua di rumahnya.

“Tarikh lahir anak buah saya jatuh pada hari ini, 13 Jun dan tak sangka, kata-kata terakhirnya kepada Irwanshah itu memberi tanda bahawa dia akan pergi buat selama-lamanya pada tanggal yang sama,” ujar Khir.

Dan sebagai anak, Khir berjanji akan berpegang pada pesanan dan kata-kata azimat yang sering dipesan oleh bapanya sebelum ini.

“Pesan abah, jika seseorang itu menjaga adabnya, tanpa ilmu pun dia akan dihormati dan dipandang tinggi di sisi Allah,” luahnya.

Terdahulu, penyanyi yang popular dengan lagu Tak Mengapa itu telah dikejarkan ke hospital pada 2 Jun lalu selepas mengadu sesak nafas.

Beliau mengalami kesukaran bernafas dan ditahan dalam bilik rawatan selama 12 jam dan dibenarkan pulang sehari sebelum menjelang Syawal.

A. Rahman meninggalkan dua anak termasuk pelakon dan pengarah Khir Rahman, hasil perkahwinannya dengan Datin Azizah Mohamad, juga penyanyi era 60-an yang meninggal dunia pada 26 April 2013 akibat kanser.

A. Rahman berkahwin dengan pelakon Fadilah Mansor, 59, pada 25 Disember 2014.

A. Rahman Hassan yang juga pengasas Kumpulan Orkes Nirwana merupakan seorang penyanyi Melayu era 60-an dan 70-an dan popular dengan dendangan lagu-lagu berentak pop yeh yeh.

Beliau pernah memenangi Anugerah Tokoh Kepemimpinan Industri Muzik dalam Anugerah Kecapi PAPITA tahun 2006.