Menurut Heliza, 33, mereka terkandas berjam-jam semalam di Rafah sebelum diarahkan berpatah balik semula ke Gaza.

Rombongan tersebut bermalam di Gaza sebelum mencuba lagi untuk keluar pagi ini.

Menceritakan pengalaman berada di Rafah, Heliza berkata, mereka berdepan dengan cabaran yang begitu perit. Suasana di bumi arab itu sangat panas hingga mencecah 50 darjah Celcius.

H

Dalam keadaan darurat itu, dia bersama delegasi lain terpaksa tidur beramai-ramai di Rafah dalam keadaan sesak dan tiada bekalan makanan serta minuman.

Selain diberi layanan yang kasar oleh pihak berkuasa di sana, selama berjam-jam itu mereka juga terputus hubungan dengan keluarga di tanah air kerana tiada jalinan internet.

“Kami tak tahu bila kami akan pulang, kepada semua saya mohon maaf salah silap saya kepada semua”, tulisnya dalam Instagram pada pagi ini.

Heliza bersama delegasi lain menuju ke Gaza pada 10 Julai lalu.

Sementara itu, pelakon Yatt Hamzah juga menerusi akaun Instagram memaklumkan dia bersyukur kerana mendapat tahu suaminya Zulfadhli Khiruddin yang turut bersama rombongan tersebut ada menghubungi kira-kira jam 2 pagi tadi.

Dia juga berharap seluruh rakyat Malaysia dapat mendoakan keselamatan suaminya, Heliza Helmi serta ahli deligasi lain agar proses untuk mereka keluar dari Gaza melepasi pintu sempadan Rafah lancar dan terus pulang ke pangkuan keluarga di sini.

“Mereka terpaksa bermalam satu hari lagi di Gaza sebelum berangkat balik ke Malaysia. Teruskan doa,” tulisnya dalam Instagram, pada pagi ini. -UTUSAN ONLINE