Dalam pada itu terdapat juga yang memikirkan ini masanya untuk melakukan apa sahaja yang dimahukan tanpa pemantauan keluarga. Bagaimanapun, bagi penyanyi dan komposer muda, Haqiem Rusli, 21, usia ini bukan lesen untuk dia ‘terbang bebas’ sesuka hati.

 

“Saya bersyukur mencapai usia 21 pada pertengahan Jun. Azam saya tentunya mahu lebih fokus dan serius dengan kerjaya sebagai penyanyi dan komposer setelah menceburi bidang ini sejak beberapa tahun lalu.

“Sebagaimana orang lain yang mahukan kehidupan bahagia, begitu juga saya. Impian saya mahu lebih sukses dan tenang menjalani hari-hari mendatang. Kalau ada remaja sebaya merancang tinggal berasingan dengan keluarga, saya pula lebih selesa duduk dengan keluarga di Hulu Langat.

“Mengapa nak pindah? Saya bukan perantau yang bekerja jauh dari keluarga.

“Selagi berpeluang bersama kedua-dua orang tua, saya tak mahu berjauhan daripada mereka.

“Tak salah yang masih bujang tinggal dengan keluarga. Kalau ingin hidup bebas tak kira sama ada yang remaja atau sesiapa pun, berfikir panjanglah, jangan sampai mengundang masalah kemudian hari.

“Jangan menyalah guna kebebasan diberikan keluarga dan ada baiknya memikirkan sebarang tindakan dalam hidup,” nasihat Haqiem yang merancang mengerjakan umrah dengan keluarganya akhir tahun ini.

Menyentuh tentang pasangan pula, Haqiem belum terfikir untuk bercinta dalam masa terdekat ini.

“Bagi saya masih terlalu awal. Sejujurnya tidak ada mana-mana rakan perempuan yang rapat dengan saya sekarang.

“Bukan tidak ada kawan perempuan, tapi boleh dibilang dengan jari berbanding lelaki,” kata Haqiem secara tak langsung menafikan sedang rapat dan bercinta dengan seorang artis berhidung mancung.

Dalam berkawanpun, Haqiem berhati-hati agar tidak salah bercampur, tikam belakang dan tidak menghormati diri sendiri dan orang lain.

Perkembangan lain, Haqiem sedang mempromosikan lagu terbaharu berjudul Lembah Kesepian dan mahu berkarya lebih jauh bukan sahaja untuk dirinya, malah rakan-rakan artis lain.

“Selain menyanyikan lagu ciptaan sendiri, saya juga mencipta lagu untuk artis-artis lain. Setakat ini mereka yang mendapat lagu-lagu ciptaan saya ialah Putera Band ( Terseksa) Tajul( Ibu), Zack Zaquan (Kenangan) Usop Mentor ( Aku Yang Bersalah),” tambah Haqiem yang berharap melangkah ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-34 dengan lagu Lembah Kesepian.