Menurut Hanis, 28, sejak mereka mula berkongsi secara umum perkembangan dan aktiviti harian Yusuf di media sosial, pasangan ini sudah berbincang untuk menerima secara terbuka sebarang teguran dan pandangan netizen.

“Apabila kami mengambil keputusan untuk mewujudkan akaun Instagram Yusuf, saya dan Hairul sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan.

“Setiap kali kami berkongsi tentang Yusuf, banyak komen dan teguran yang kami terima. Sejak itu kami perlu belajar untuk berlapang dada dan menerima teguran secara terbuka.

“Bagi saya, setiap ibu bapa mempunyai cara didikan dan jagaan yang berbeza. Jadi jika netizen mengkritik cara kami, saya tahu dia hanya ingin berkongsi dan dia pasti punya caranya yang tersendiri dalam soal menjaga anak,” ujar Hanis.

Dalam pada itu, Hanis, Hairul dan Yusuf serta kucing peliharaan mereka, Bujibu Chempel bakal muncul menerusi program realiti yang memaparkan aktiviti harian mereka.

Rancangan berjudul My Little Heroes – Yusuf dan Bujibu akan mula bersiaran pada 31 Januari ini setiap hari Rabu pukul 10 malam di saluran Astro Ria 104 dan Ria HD 123. – UTUSAN ONLINE.