Justeru, penyanyi asal Korea ini menjadikan pentas pertandingan realiti, Big Stage (musim kedua) sebagai ‘jambatan’ untuk mencapai misi itu walaupun terpaksa berulang alik antara Seoul dan Kuala Lumpur setiap minggu.

“Pertandingan ini cabaran besar untuk saya terutama untuk menyanyikan lagu Melayu. Ia sebagai batu loncatan untuk terus membuktikan bakat saya.

“Ini peluang untuk menimba seberapa banyak pengalaman hidup juga dalam karier muzik di samping belajar budaya orang di sini.

“Saya juga mahu berikan sesuatu yang istimewa kepada Twinkles (nama kelab peminatnya di sini),” ujar penyanyi berusia 29 tahun ini.

Namun, bekas ketua kumpulan LEDAapple ini akui dia pasti tidak akan terlepas daripada ‘penilaian’ warganet dan peminat muzik tanah air.

“Bukan di sini saja tetapi ke mana saja saya pergi seperti di China, Jepun, Australia, malah di negara sendiripun ada kritikan dan saya sudah bersedia.

“Misalnya sembilan orang suka pada kita, pasti akan ada seorang yang tidak suka, jadi saya akan cuba sebaiknya untuk menawan hati yang seorang itu.

“Bagi saya kritikan secara tidak langsung boleh membantu saya memperbaiki diri dan persembahan,” katanya.

Percaturan Han Byul setakat ini menjadi. Selama dua minggu berturut-turut persembahannya mendapat pujian daripada juri profesional, Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin dan Judika serta juri jemputan iaitu Syafinaz dan Ajai.

“Dalam pertandingan ini persaingan terbesar saya bukan mereka (peserta lain), tetapi diri sendiri.

“Saya cabar diri untuk menawan hati orang Malaysia,” katanya.

Pada minggu kedua, dia mendapat tepukan gemuruh dan standing ovasion daripada juri dan penonton ketika menyampaikan lagu Vroom Vroom (nyanyian asal Nabila Razali).

Mendahului peserta lain, Han Byul juga meraih gelaran BBNU minggu ini (BBNU of the week), pada konsert yang berlangsung di Dewan Auditorium MBSA, Shah Alam itu.

Dia sekali lagi kekal sebagai antara peserta yang mendapat markah tinggi menerusi persembahan lagu I’ll Never Love Again pada konsert Ahad lalu.

Di Korea, Han Byul pernah popular bersama LEDAapple sejak 2010 (kumpulan itu bubar pada 2016). Meneruskan karier sebagai penyanyi solo, dia telah menghasilkan 15 album.

Pemuda yang dilahirkan di Brisbane, Australia ini juga sering menyanyikan lagu runut bunyi untuk drama seperti Sassy Go Go, Marriage Not Dating dan 7th Grade Civil Servant.