Lagu Anta Permana ciptaan Hael yang dinyanyikan oleh Siti mendapat sambutan luar jangka. Malah diva pop itu turut memberi kepercayaan penuh kepada Hael semasa merakamkan lagu tersebut dan ternyata ia memberi impak positif dalam kerjaya dua insan seni ini.

Sebelum ini lagu ciptaan Hael untuk Nabila Razali iaitu Pematah Hati turut menarik perhatian dan disukai ramai. Begitu juga dengan lagu terbaharu Ayda Jebat iaitu Temberang, sudah mula menjadi siulan peminat.

Rekod cemerlang ini membuatkan ramai insan dalam industri muzik beranggapan kononnya Hael adalah komposer tempatan paling mahal dan hanya bekerjasama dengan artis-artis popular.

Sama ada betul atau tidak andaian ini, Hael Husaini yang popular dengan lagu Jampi ada jawapannya.

“Saya seperti orang lain bermula dari bawah. Bukan mudah untuk saya sampai ke tahap sekarang. Nyanyian saya pernah tidak dipandang. Lagu-lagu saya pun pernah banyak kali ditolak. Namun, itu proses yang positif untuk saya menjadi lebih baik dan memperbaiki kelemahan yang ada.

“Di kala lagu saya semakin diterima peminat dan menjadi pilihan penyanyi-penyanyi popular, saya anggap itu rezeki daripada Allah. Ini berkat usaha dan doa daripada keluarga dan peminat yang mahu lihat saya terus berjaya.

“Saya masih ingat di mana saya bermula. Jadi, saya tidak pernah sesekali meletakkan diri saya sebagai komposer yang mahal apatah lagi hanya mahu bekerja dengan artis-artis popular. Tidak sama sekali.

“Sesiapa sahaja yang datang, saya terima dengan hati terbuka. Saya tidak beza-bezakan tahap populariti artis, jauh sekali hendak meletakkan apa-apa syarat. Saya sendiri buat kerja berdasarkan apa yang saya mampu.”

“Bagi saya rahsia kejayaan lagu Anta Permana yang menjadi tular dan sohor kini disebabkan beliau sendiri. Selain lagu itu memang dicipta khas buatnya, Siti berusaha gigih mengajak artis-artis lain supaya menyanyikan lagunya dalam laman sosial masing-masing.

“Ditambah pula dengan pihak pengurusan Siti yang bekerja kuat untuk memastikan lagu Anta Permana mendapat penerimaan yang bagus,” kata Hael.

Bukan beban

Sudah menjadi resam, apabila muncul dengan karya yang bagus, pastinya peminat akan mengharapkan yang lebih baik pada masa akan datang. Hael atau nama sebenarnya Hal Husaini Razmi menganggap ia satu cabaran untuk dirinya.

“Saya sedar, apabila kita sudah muncul dengan sesuatu yang baik atau disukai ramai, sudah tentu peminat mengharapkan yang lebih baik selepas ini. Saya tidak menganggap itu beban malah ia menjadi motivasi untuk terus menghasilkan lagu yang lebih berkualiti selepas ini.

“Namun, saya tidak suka stres dan memerlukan suasana yang tenang untuk menghasilkan lagu. Memang ada kalanya saya mengambil masa yang panjang untuk menghasilkan sesebuah karya, Semua itu berlaku kerana saya seorang yang teliti dan mahukan yang terbaik.

“Apa yang saya pentingkaan bukan sahaja kualiti dan mempunyai nilai komersial tetapi mesti juga serasi dengan penyanyi yang membawa lagu tersebut,” kata Hael lagi.

Hael adalah finalis Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL 33) menerusi lagu Hajat dan Haram nyanyiannya bersama Dayang Nurfaizah. Sebelum ini, Hael pernah menjuarai AJL 32 melalui lagu Jampi.