Namun keunikan beliau terletak pada kebolehannya mengubah corak tarian hasil penjelajahan, pengalaman dan penglibatan beliau dalam pelbagai acara seperti Fogarate Dance Project di New York diarahkan oleh Juan Matos - penghibur salsa dan mambo terkenal Amerika Syarikat (AS).

"Menari bukan sahaja untuk bersenam dan bersukan malah meluaskan jaringan sosial dengan bertemu peguam, akauntan dan ahli perniagaan yang sama-sama mengikuti kelas tarian," kata Gavin.

Beliau pernah dijemput khas mengadili pertandingan salsa antarabangsa seperti saringan Beijing bagi Kejuaraan Salsa Dunia 2006 dan Kejuaraan Salsa Terbuka Asia Hong Kong 2007.

Sesekali masih mewakili negara di pertandingan salsa luar negara, Pengarah Outcast Dance Studio di Petaling Jaya itu kini mahu membuka peluang kepada rakyat tempatan mendapat manfaat daripada keseronokan menari.

Akademi tarian yang ditubuhkan bersama rakan kongsi, pasangan menari dan juga Pengetua Outcast Dance Studio, Sally Oh, itu memberi orang ramai peluang mempelajari teknik-teknik penting yang dijelaskan secara menyeluruh.

Manakala mereka yang lebih serius untuk menajamkan kemahiran dalam pelbagai jenis tarian seperti dips (menjatuhkan pasangan) dan lifts (mengangkat pasangan) yang mampu memberi markah lebih dalam pertandingan.

Tidak semestinya untuk salsa, kata Gavin, teknik tersebut digunakan penari profesional untuk mencantikkan rutin tarian.

Istimewanya di Outcast, pelajar peringkat permulaan pun mampu melakukan teknik-teknik berani itu di mana kebanyakan penari amatur pun tidak sanggup mencubanya di pentas.

Mengenai pakaian pula, Gavin berkata, beliau tidak menetapkan peraturan khas tentang cara berpakaian sebaliknya memberi kebebasan kepada pelajar menyarung apa sahaja yang selesa.

Bagaimanapun selalunya pelajar yang serius mengikuti kelas akan mencari kelengkapan sesuai terutama kasut mengikut pergerakan kaki jenis tarian diikuti.

"Pelatih yang berminat boleh mendapatkan kasut tarian buatan tangan (tempatan) mengikut saiz dan warna diingini.

"Kami tidak mewajibkan pemakaiannya tetapi pelajar yang serius tentang mendapatkan pergerakan yang betul dan tepat pasti mahukan kelengkapan berkualiti," jelasnya.

Outcast Dance Studio diasaskan oleh Gavin yang bermula sebagai penari jazz dan menjelajah ke seluruh dunia pada usia 18 tahun untuk memperluaskan pengetahuannya dalam seni tarian.

Pernah mengikuti latihan di Sydney Dance Company Australia dan Pineapple Dance Studios United Kingdom sebelum berhijrah ke AS dengan Broadway Dance Center, Steps Dance Center, Djoniba Dance & Drum Center, Santo Rico Dance Studio dan Abakua Latin Dance Company, New York.

Sepanjang perjalanannya, beliau mempelajari pelbagai gaya tarian termasuk Salsa, Africa, Electric Boogaloo, House dan Afro-Cuba yang kemudiannya digabungkan ke dalam gaya tarian tersendiri.

Gavin yang pernah melakukan persembahan dan mengajar di acara dan kongres antarabangsa di Switzerland, Jerman, Japan, China, Hong Kong, Singapura dan Australia tidak pernah kedekut berkongsi ilmu bersama para penuntutnya.

"Setiap pelajar berpeluang berinteraksi secara dekat dengan guru tarian jadi mereka lebih jelas tentang cara-cara merapatkan kaki, lutut, pergerakan pinggul dan pentingnya merehatkan bahu," katanya.

Studio tarian Outcast mempunyai beberapa tenaga pengajar profesional selain Gavin dan Sally iaitu MissE (Street Jazz, MTV, Pole Dancing), Swee Cheng (tarian gelek), Eric Tan (ballroom moden) dan Kuda dari Zimbabwe (Poppin, Wavin, Krump, African House).

Pada masa sama, Gavin merupakan Pengasas Outcast Dance Movement iaitu kumpulan persembahan profesional terdiri daripada penghibur tempatan paling berbakat.

Kumpulan tersebut melakukan persembahan secara dalam dan luar negara bagi menampilkan koreografi yang asli, berkemahiran, bersemangat dan kekal pada asasnya.

"Falsafah saya mudah, bergembira sambil belajar! Kami mempunyai pengalaman dan pengetahuan luas untuk dikongsi bersama pelajar, menjadikan sesi kelas lebih mencabar namun menyeronokkan.

"Sebab itu kami serius dalam mengekalkan keaslian di samping pembaharuan gaya tarian yang diajar kepada penuntut," katanya yang juga memiliki Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Jurusan Perdagangan.

Studio tarian Outcast menawarkan kelas tarian kepada orang awam selain penari profesional yang ingin memperluaskan pengetahuan dan kemahiran mereka.

Antara kelas tarian yang ditawarkan selain salsa New York, Cuba dan Columbia adalah tarian gelek, hip hop, 'popping' dan jazz jalanan (street jazz).

Anda juga boleh menghantar emel ke [email protected] atau lawati laman web www.outcastdance.com.