Sebabnya ada pihak yang mengancam untuk menyebarkan gambar tidak senonohnya dengan salah seorang bekas teman lelakinya baru-baru ini.

Namun Nonny yang dikenali menerusi drama bersiri Istikharah Cinta itu menegaskan, dia tidak akan tunduk dengan sebarang ugutan mahupun ancaman yang bertujuan untuk memalukan dirinya itu.

“Saya tidak gentar dengan ugutan!” tegasnya yang tidak menafikan gambar tersebut dan mengakui bahawa hubungan dengan lelaki yang mahu menyebarkan gambar tersebut sudah lama berakhir.

Malah kata Nonny, dia percaya ugutan itu merupakan satu perbuatan untuk membalas dendam kerana dia menolak cinta lelaki tersebut.

“Saya percaya orang yang berniat jahat ini tidak ke mana. Mengambil kesempatan terhadap saya pada waktu saya sedang mencipta nama adalah satu perbuatan yang sia-sia.

“Saya sudah bersedia untuk berdepan dengan apa saja kemungkinan daripada penyebaran gambar (tidak senonoh) berkenaan kelak,” tegas Nonny lagi. Bagaimanapun dia tidak menjelaskan kenapa dia sanggup bergambar seperti itu.

Menurut Nonny, dia menerima e-mel berbaur ugutan yang disertakan dengan gambar intim tersebut awal Januari lalu daripada bekas kekasihnya.

Biarpun pada awalnya terkejut dengan ugutan tersebut namun Nonny memberitahu, dia tidak mahu melayan rasa takutnya.

Sebabnya dia sudah nekad tidak mahu kembali kepada bekas teman lelakinya walaupun dipujuk berkali-kali. Lelaki itu turut terlibat dalam industri hiburan.

Malah difahamkan, lelaki tersebut turut berhasrat menghantar rombongan meminang seandainya pelakon asal Kota Kinabalu, Sabah ini bersetuju untuk menyambung hubungan mereka.

Bagaimanapun Nonny menolak pelawaan itu kerana dia tidak mahu dicap perosak rumah tangga orang sementelah lelaki itu sudah berkeluarga dan mempunyai beberapa orang anak.

“Saya tahu bagaimana perasaan seorang isteri apabila mendapat tahu suaminya curang dengan wanita lain. Jadi saya tidak mahu berada dalam keadaan serba salah.

“Sebab itu saya memutuskan hubungan kami. Tapi yang saya kecewa, rupa-rupanya dia tidak berputus asa dalam usaha untuk menambat hati saya kembali.

“Macam-macam usaha yang dilakukan untuk memujuk dan memastikan saya kembali ke pangkuannya. Dan saya percaya ugutan untuk mengaibkan saya itu adalah usahanya yang terakhir,” kata Nonny kesal.

Mengakui tidak tahu keistimewaan yang ada pada dirinya sehingga terus ‘dikejar’ bekas kekasihnya itu, kata Nonny, dia juga buntu memikirkan perkara itu kerana ketika ini dia sudah mempunyai teman lelaki baharu.

Biarpun sudah acap kali menolak pelawaan lelaki berkenaan untuk kembali ke sisinya namun kata Nonny, lelaki itu tetap tidak boleh menerima hakikat mereka tidak boleh hidup bersama.

Sebelum ini, Nonny juga pernah terpalit dengan kisah kononnya mejadi punca kepada keretakan rumah tangga Nasriah Ngasri atau Anne dengan bekas suaminya, Abdul Wafi Hassan .

“Saya sudah melupakan cerita lama. Tak payah dikenang lagi. Dan saya juga sudah mengambil iktibar atas perkara yang berlaku.

“Saya tidak mahu berterusan melakukan kesilapan yang sama kerana cerita-cerita ini akan memberi kesan buruk terhadap perjalanan karier saya,” ujarnya yang fobia apabila namanya terus dikaitkan sebagai perosak rumah tangga orang.

Kekasih baharu

Mengakui kini sangat bahagia dengan teman lelaki baharu, kata Nonny, dia juga bersyukur kerana kekasihnya itu memahami situasi yang sedang dialami.

Lelaki yang berkerja di sebuah stesen televisyen itu juga sentiasa memberi sokongan kepadanya.

“Episod cinta saya ini umpama drama yang ditayangkan di televisyen. Ada macam-macam cubaan yang perlu dilalui saya sebagai watak utama.

“Siapa menyangka, hubungan kami yang pernah terputus sebelum ini bertaut kembali apabila bertemu awal tahun ini.

“Tak sangka pula ketika cinta kembali berputik, hubungan kami diduga dengan cerita kontroversi ini. Namun saya mendapat kepercayaan daripadanya dan kami akan sama-sama menempuh dugaan ini,” katanya.

Berhubung perancangan untuk berkahwin dengan kekasihnya yang dikenali sebagai Mustain yang juga seorang duda, Nonny berkata itu terlalu awal untuk dikongsi dengan khalayak.

“Nanti-nantilah saya akan bercerita tentang perkahwinan. Sekarang ini, masih terlalu awal,” ujarnya lagi yang mengulangi kenyataan klise banyak artis lain sebelum ini.

Tidak pernah berahsia tentang masalah yang sedang dialaminya, Nonny mengakui seringkali berkongsi masalah dengan ibunya, Sarima Matanio, 51.

Kata Nonny, dia perlu berterus terang kepada ibunya kerana tidak mahu keluarganya terkena tempias daripada cerita tidak senonoh yang melanda.

Pada masa yang sama, Nonny tidak mahu dipersalahkan jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini pada masa depan.

“Dalam hal ini, saya lebih percaya ibu daripada orang luar. Dia yang tahu perasaan anaknya yang sedang berdepan dengan setiap masalah.

“Dia adalah tempat rujukan saya dan umpama kaunselor kepada saya sejak saya berhijrah ke Kuala Lumpur seorang diri kira-kira lapan tahun lalu.

“Ibu tidak mahu saya tersilap langkah dalam membuat keputusan. Jadi jika timbul sebarang masalah, saya akan menghubunginya.

“Malah dalam isu ugutan dan penyebaran gambar itu pun ibu saya meminta agar saya lebih berhati-hati dalam setiap tindak tanduk yang dilakukan,” ujarnya.