Melihat cabang seni sebagai satu saluran rezeki yang luas, Aeril juga tidak kisah sekiranya anaknya itu menjadi tumpuan.

Menurut Aeril, pilihan untuk meletakkan anak-anaknya itu sebagai duta Kempen Setulus Ikhlas,

 

TV3 bersama dia dan Wawa adalah satu langkah pertama bagi memperkenalkan putera dan puterinya itu.

“Sebenarnya saya memang nak bawa anak kedua memasuki dunia lakonan sebab saya nampak dia suka melihat cermin dan dia juga seperti meminati bidang ini berbanding abangnya. Walaupun dia pemalu tapi saya rasa sifat malu itu boleh dibuang sekiranya mereka terus didedahkan dengan perkara sebegini.

“Sebagai ayah saya tidak melarang untuk mereka masuk bidang ini, Pada pendapat saya, industri seni jika dijaga dengan baik boleh memberikan pendapatan. Lagipun mereka semua sudah ada jalan, hanya perlu dikembangkan sahaja lagi,” jelas Aeril yang akan mengikuti kempen Setulus Ikhlas yang dijalankan sepanjang Ramadan bersama TV3.

Selain anak-anak, Aeril juga tidak keberatan sekiranya Wawa Zainal mahu kembali beraksi di pentas lakonan. Tidak meletakkan apa-apa syarat, jelas Aeril cukuplah sekadar Wawa menjaga kepercayaannya selama ini.

“Saya tak melarang kalau Wawa nak kembali berlakon, terpulang kepadanya. Tak ada apa-apa syarat, selagi dia menjaga batasan saya akan izinkan.

“Kami berkenalan dalam industri, sudah saling memahami. Jadi kami tahu bagaimana kerja dalam bidang ini. Seperti mana Wawa meletakkan kepercayaan untuk saya berlakon, begitu juga saya akan lakukan kepadanya,” jelas Aeril.

Wawa pilih watak

Rindu kenangan ketika di lokasi penggambaran, Wawa Zainal teringin untuk kembali mengasah bakat dalam dunia lakonan. Namun atas sebab kesibukannya menjaga perniagaan dan keluarga, dia terpaksa melupakan seketika perkara tersebut.

“Sebenarnya saya sibuk dengan anak-anak dan bisnes. Jadi kalau ada apa-apa tawaran lakonan, saya perlu meneliti sepenuhnya terlebih dahulu. Kena lihat sama ada ia sesuai atau tidak dengan masa dan keadaan saya ketika itu.

“Banyak tawaran untuk kami berlakon bersama tapi Aeril kata kalau kedua-duanya berlakon serentak bagaimana pula keadaan anak-anak. Jadi, saya terpaksa menolaknya.

“Saya rindu juga nak berlakon, rindu keadaan di lokasi, balik lambat dan jumpa kawan-kawan tapi nak buat macam mana, keadaan tidak mengizinkan,” jelas Wawa.

Tidak pernah mengganggu Aeril ketika dalam penggambaran, kata Wawa dia memberi kepercayaan sepenuhnya kepada suaminya itu.

“Saya memang tak akan ganggu dia kalau ada penggambaran. Hanya dia yang selalu telefon bertanya keadaan kami anak-beranak di rumah.

“Nak kata saya tidak memantau langsung, tidak juga.

“Kalau ada masa saya akan periksa juga mesej-mesej peminat di telefonnya,” ujar Wawa.