Apresiasi masyarakat pada perjuangan seni sebelum era hari ini tidak pernah pudar malah masih tetap utuh melobi bakat sehingga ke penghujung nafas yang terakhir.

Yakin masih ada pengikut yang sentiasa mengikuti perkembangan mereka berdua, dua legenda muzik terkenal, Man Bai dan Rahim Maarof mahu mengukir sejarah baharu sekali gus meraikan perjalanan seni mereka di pentas dengan sebuah konsert istimewa.

Konsert 2V Man Bai + Rahim Maarof menjadi medan mengembalikan memori peminat-peminat seni terhadap lagu-lagu mereka yang sudah menjangkau empat dekad menghambakan diri sebagai pelaku seni ulung.

“Saya dan Rahim percaya masih ada peminat yang mengikuti lagu-lagu kami. Mungkin mereka juga sudah seusia kami, tapi tak mustahil juga ada peminat muda yang mengemari muzik kami.

“Walaupun ramai pendatang baharu bersilih ganti, nama Man Bai dan Rahim Maarof tak pernah hilang dari radar seni.

“Kami masih relevan dan memiliki himpunan lagu yang kuat untuk terus menghiburkan peminat tanah air,” kata Man Bai yang popular menerusi lagu ‘berhantu’ Kau Ilhamku.

Bercerita lanjut tentang penganjuran konsert yang akan diadakan pada 6 April ini di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia ( Matic) Kuala Lumpur, jelas Man Bai, dia nekad untuk meneruskan niat yang sudah tertangguh sejak tahun lalu.

Sekalipun bukan di pentas mega, namun keutamaan mereka adalah pengisian manifestasi seni yang dipersembahkan kepada peminat tersayang.

“Saya dan Rahim bukan baru pertama kali bergabung buat konsert bersama. Kami pernah buat persembahan mini di sebuah kelab di No Black Tie. Walaupun hanya boleh memuatkan 120 orang tapi memang penuh.

“Kami tak sasarkan ribuan peminat yang datang menonton, sebab itu kami memilih tempat yang kecil namun impak yang datang akan dapat memenuhi ruangan.

Berinteraksi dengan penonton

“Di Matic pula boleh memuatkan 400 orang dalam satu masa. Insya-Allah saya lebih suka dengan situasi begini kerana peluang untuk berinteraksi dengan penonton akan lebih dekat,” ungkapnya.

Sementara itu kata Man Bai atau nama sebenarnya Abdul Rahman Osman, kesukaran mencari penaja menjadi faktor utama kebanyakan penyanyi terpaksa membatalkan hasrat lalu terkubur tidak bernesan.

Sambil mengakui konsert 2V diteruskan tanpa sebarang penajaan, namun Man Bai tetap berterima kasih kepada yang terlibat sama bagi menjayakan misi itu.

“Saya tahu dalam keadaan industri yang kurang memuaskan agak sukar untuk meyakinkan pelabur bagi menaja sebuah acara berskala besar.

“Apa-apa pun konsert saya dan Rahim dipersembahkan dalam skala kecil sahaja, jadi kami tetap teruskan walau tiada penaja.

“Kami dibantu oleh penganjur Lolipop Living dan rakan-rakan pemuzik yang akan mengiringi persembahan saya dan Rahim,” kongsinya.

Dalam pada itu Man Bai turut menjawab tanda tanya mengenai harga tiket yang sedikit tinggi.

Dia bagaimanapun tidak gusar tentang penjualannya.

“Apalah sangat dengan tiket berharga RM205 itu kalau nak dibandingkan dengan harga tiket penyanyi lain yang sudah tentu jauh lebih mahal daripada kami. Tetapi tetap ada peminat yang membeli dan menyokong penghibur kesayangan mereka.

“Saya rasa dengan harga yang ditetapkan penganjur, ia berbaloi untuk sebuah konsert yang dipandu oleh pemuzik profesional secara langsung.

“Kami berdua bukan baru setahun jagung dalam industri. Rahim sendiri sudah empat dekad bergerak dalam industri dan sehingga kini masih mendapat tempat untuk membuat persembahan pentas.

“Ia membukti–kan nama kami berdua cukup besar. Dengan harga RM205 kalau dibahagi dua, nilai kami hanya RM 02.50 seorang,” ulasnya berseloroh.

Tiket boleh dibeli menerusi www.ilassotickets.com.

Saya masih ada – Rahim Maarof

MEMULAKAN karier seninya pada sekitar 70-an, nama Rahim Maarof masih tetap menjadi perhatian peminat biarpun bergulir tahun.

Terkenal dengan alunan muzik pop dan rock, Rahim atau nama sebenarnya Abdul Rahim Maarof yang popular dengan seleksi lagu seperti Cinta Kristal, Lizawati, Jangan Kau Rayu, Usang, Istana Menanti dan banyak lagi menjadikan dia antara penyanyi yang punya aura tersendiri.

Kesempatan yang diberi oleh Man Bai untuk bergabung dalam satu pentas konsert disambut baik olehnya. Dek kerana itu, dia tidak mahu mensia-siakan peluang untuk menjayakan konsert 2V yang hanya berbaki beberapa minggu sahaja lagi.

Memilih untuk menyanyikan lagu-lagu malar segar yang menjadi pujaan pengikut muziknya, Rahim menjanjikan sebuah acara termanis pernah dihadiri para peminatnya pada malam itu kelak.

“Insya-Allah kami akan sampaikan 15 hingga 20 buah lagu untuk persembahan berdurasi kira-kira dua jam.

“Pilihan lagu saya adalah berdasarkan rating popular hingga menjadi siulan peminat. Tetapi ada juga seleksi lagu yang jarang dimainkan di radio akan saya nyanyikan nanti.

KONSERT 2V

“Kita juga akan merancang elemen kejutan pada konsert 2V. Kalau nak tahu kenalah datang ke konsert kami,” tuturnya sambil menambah ini waktu yang sesuai untuk memberi semula kepada peminat.

Meskipun usianya sudah mencecah angka 63 tahun, figura lelaki berambut panjang ini masih tegap.

Tidak menolak jarang muncul di hadapan lensa kamera selain kurang publisiti dalam media, hakikatnya Rahim masih menerima persembahan pentas.

“Saya sering dapat undangan membuat persembahan di majlis-majlis korporat dan beberapa program lain selain di kelab.

“Kerjaya seni saya masih berjalan seperti dahulu. Mungkin tidak sekencang dahulu tetapi cukup untuk tanggung hidup saya.

“Pada waktu sekarang saya sudah tidak fikirkan tentang populariti kerana sudah laluinya dahulu. Pada ketika ini fokus saya lebih kepada mahu menghiburkan peminat dengan ikhlas,” katanya sambil menutup bicara.