Benarkah ini khabar gembira buat semua penggiat seni atau ini sebenarnya menguntungkan sebelah pihak sahaja?

JUREY LATIFF ROSLI
JUREY LATIFF ROSLI 

Sejak diumumkan semalam, pelbagai polemik timbul. Ramai penerbit berasakan mekanisme yang dijalankan ini tidak menguntungkan mereka, malah perjalanan operasi mereka lebih terbeban apabila kos pembikinan sesebuah naskhah bertambah berat.

Menurut Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli, Finas seharusnya mendapatkan persetujuan semua stesen televisyen tentang harga pembelian kandungan program yang tidak dinaikkan sejak 20 tahun lalu.

“Susulan pengumuman Pengerusi Finas untuk menguatkuasakan caruman kepada 30,000 pekerja industri pada 2020, pihak PTVM mengucapkan syabas dan tahniah atas usaha membantu kebajikan pekerja-pekerja industri.

“Bagi memastikan Finas berlaku adil kepada syarikat penerbitan program televisyen, pihak persatuan berharap Finas dapat menggunakan aktanya untuk menyelesaikan keseluruhan ekosistem dan bukan hanya membantu kebajikan pekerja industri,” jelas Jurey.

Menurutnya lagi, Finas seharusnya lebih proaktif dan bukan sekadar memaksa penerbit membuat caruman kepada pekerja mahupun mengenakan tindakan sekiranya mereka gagal mencarum.

Tindakan Finas yang mahu melucutkan Sijil Perakaunan Penggambaran Filem (SPP) sekiranya penerbit tidak mencarum KWSP dan Perkeso kepada penggiat seni seolah-olah tidak adil kepada syarikat penerbit.

“Ini tindakan yang tidak bijak. Sebagai agensi yang mengeluarkan lesen penerbitan program televisyen kepada syarikat penerbitan, PTVM berharap Finas mendapatkan segera persetujuan daripada semua stesen televisyen tentang kadar baharu harga pembelian kandungan yang sudah lebih 20 tahun tidak dinaikkan,” luahnya.

KESAL

JUREY turut meluahkan rasa kesal kerana pengumuman yang dibuat semalam tidak seperti yang dipersetujui semasa perbincangan dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia sebelum ini.

“Pengumuman ini amat mendukacitakan PTVM kerana semasa perbincangan dengan Gobind Singh Deo dan Pengerusi Finas sebelum ini, telah dipersetujui bahawa kadar baharu pembelian kandungan akan diumumkan selewatnya hujung tahun.

“Pengumuman oleh menteri ini nanti akan selari dengan hasrat Finas untuk memulakan caruman KWSP. Pihak persatuan juga akan menghantar surat rasmi berkenaan isu ini dan mahukan penjelasan lanjut tentang keputusan menteri tentang kadar pembelian kandungan baharu,” katanya lagi.

Semalam Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac mengumumkan bahawa penggiat seni bakal menerima KWSP dan Perkeso yang diperkenalkan Finas bermula 1 Januari depan.

Hans Issac juga memperkenalkan mekanisme pembayaran dengan mewajibkan majikan membuat potongan bayaran kepada mereka yang mendapat gaji minimum RM1,100 sebulan dan sekiranya tidak dituruti SPP mereka akan ditarik.

SOKONGAN ARTIS

JASMIN HAMID
JASMIN HAMID 

Bagi golongan artis yang sememangnya mencari makan dalam dunia penyiaran, mereka menyambut baik apa yang diumumkan oleh Pengerusi Finas semalam.

Pelakon Jasmin Hamid mengaku sebak dalam kesyukuran apabila penantian selama 30 tahun akhirnya menjadi realiti.

“Semenjak berlakon dulu, inilah antara perjuangan anak-anak seni yang tiada berkesudahan. Bukan tiada tindakan atau usaha daripada pihak sepatutnya, tetapi isu ini ‘sunyi’ tanpa khabar berita,” luahnya.

Sementara itu pelakon senior, Wan Julia atau popular dengan nama Mak Wan, telah menanti berita sebegini sejak 20 tahun lalu.

“Kami juga seperti orang lain inginkan kehidupan yang selesa. Jadi biarlah kami menikmati hasil caruman seperti orang lain juga,” luahnya.