Hujung minggu lalu, Hits berkesempatan menyaksikan kemeriahan K-Performance Show 2019 anjuran Organisasi Pelancongan Korea (KTO). Selama dua jam, acara yang berlangsung di dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu menampilkan persembahan seni unik oleh barisan artis yang diterbangkan khas dari Korea.

Kumpulan sketsa komik, Jump membuka tirai persembahan. Bukan sketsa pentas biasa, tetapi menariknya kumpulan ini berjaya membuat penonton ketawa dengan aksi lucu mereka menyampaikan cerita menerusi gaya seni mempertahankan diri seperti kungfu dan taekwondo.

Kemudian, pentas diambil alih pula oleh empat anak muda berbakat yang menggelarkan diri mereka sebagai The Painters. Satu-satunya kumpulan seni persembahan di dunia yang mempunyai lebih satu juta penonton pada setiap tahun.

Uniknya, mereka mempamerkan bakat luar biasa, melukis secara langsung dan gabungan elemen visual 3D sambil menari.

Seterusnya, suasana dewan bertambah rancak dengan kemunculan kumpulan tarian muzikal yang cukup energetik, Sachoom2. Mereka berjaya memukau penonton dengan pelbagai jenis tarian seperti hip hop, breakdance urban, tarian moden, jazz, disko, tango dan tarian muzik KPop sensasi masa kini.

Leo (Vixx) ubat rindu

Paling ditunggu peminat ialah persembahan penyanyi, penulis lagu dan pelakon teater popular, Leo yang mempersembahkan nyanyian muzikal. Kehadiran pemuda berusia 28 tahun ini sekurang-kurangnya dapat mengubat sedikit kerinduan peminat terhadap kumpulan Vixx.

Leo menghiburkan penonton dengan lagu Ordinary Live dan From Way Up Here daripada muzikal yang berjudul Mata Hari. Dia turut mendendangkan sebuah lagu bertajuk Nostalgia petikan dari album solonya berjudul Muse.

“Sejujurnya saya ingin memohon maaf kepada Starlight (gelaran peminat Vixx) kerana sudah lama kami tidak datang ke sini untuk membuat persembahan.

“Diharapkan kamu semua terhibur dengan persembahan solo saya dan mungkin saya akan kembali lagi ke sini bersama Vixx.

“Kalau melancong ke Korea, jemputlah datang dan saksikan teater lakonan saya bertajuk Marie Antoinette yang dipentaskan dari Ogos hingga November ini,” ujar penyanyi tinggi lampai itu.

Selain Leo, Vixx yang dibentuk sejak tahun 2012 dianggotai N, Hongbin, Ravi, Ken, Leo dan Hyuk.

Secara keseluruhan, acara K-Performance Show 2019 berjaya memberi gambaran kepada peminat di Malaysia mengenai beberapa lagi tarikan hiburan yang berbeza boleh mereka saksikan ketika pergi melancong ke Korea.