Namun, menginjak ke usia 21 tahun, Eyka lebih mendambakan untuk tampil dengan watak yang lebih matang dalam kerjaya lakonannya.

“Saya akui, sebelum ini banyak watak-watak yang saya bawakan dalam drama tempatan adalah watak gadis remaja, gadis sekolah, itu tidak berkembang. Malah, saya juga pernah ditawarkan untuk menjadi budak sekolah darjah enam. Tetapi yang itu saya tolak kerana merasakan ia sangat tidak bersesuaian lagi dengan usia saya sekarang,” jelas pemilik nama sebenar Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi ini.

Bagi Eyka, sudah tiba masanya untuk melonjakkan kerjaya lakonannya. Justeru, dia mahu lari daripada persepsi ‘masih budak-budak’ yang diletakkan oleh masyarakat terhadap dirinya.

Dia mahukan cabaran yang lebih besar dalam industri untuk membuktikan kemampuan. Enggan terlalu selesa dengan satu-satu watak, Eyka sedar dia perlu mencari sesuatu yang baharu.

“Setiap pelakon ada peralihan watak sesuai dengan usia mereka. Begitu juga saya. Watak kanak-kanak dan remaja sudah banyak yang saya bawa suatu waktu dahulu.

“Jika saya hanya ambil tawaran sebegitu sahaja, cabaran lakonan itu tidak sampai. Macam mana saya hendak maju saya sedangkan kerjaya ini adalah fokus saya sekarang,” katanya.

Jangan silap faham. Bukan semua tawaran untuk membawa watak-watak remaja akan ditolak mentah-mentah. Apatah lagi lakonan adalah sumber pendapatan, cuma dia tidak mahu terlalu terikat.

“Menjadi harapan saya untuk membawakan watak-watak yang bersifat antagonis pula. Pegang watak jahat itu cabaran. Saya percaya mampu pergi lebih jauh jika bawa macam-macam watak, terutamanya yang bersifat jahat di mata penonton,” katanya.

Akui kesilapan lalu

LIMA tahun usia dalam lakonan, Eyka akui dahulu dia pernah membuat silap apabila tidak memberi komitmen terhadap kerjaya ini.

“Sebelum ini, saya tidak memberikan komitmen yang baik terutamanya dalam hal melibatkan sesi fotografi dengan media. Itu memang silap saya,” katanya, jujur mengakui silap sendiri.

Menyedari semua itu sangat penting untuk perkembangan kerjayanya, hari ini Eyka mahu lebih ‘mesra media’

“Bila fikir semula, memang itu adalah kesilapan saya. Bila sudah atur sesi fotografi, saya suka batalkan pada saat akhir. Apa yang berlaku ketika itu mungkin kerana saya masih belum matang untuk berfikir. Saya tidak memberi komitmen yang penuh pada kerjaya,tetapi sekarang saya sudah banyak belajar” katanya.

Kini, menjadikan lakonan sebagai punca utama untuk cari makan, Eyka mendapat nasihat daripada rakan-rakan rapat dan ahli keluarganya berkenaan perkara ini.

“Semakin lama dalam industri, saya sedar bahawa hubungan dengan media itu penting untuk meneruskan kerjaya,” katanya yang bakal tampil dalam Juvana 3 yang bakal ditayangkan pada 29 September depan bersama dengan pelakon seperti Johan As’ari, Zahiril Adzim, Adam Shahz dan Hasnul Rahmat.

Gambar FARIZWAN HASBULLAH

Lokasi Berjaya Times Square Hotel