Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Sunari, 31, mengaku pencapaiannya bersama isteri dalam perniagaan bukan sesuatu yang mudah. Namun ia tidak mustahil apabila disusuli dengan usaha gigih, ilmu, strategi dan berkat membantu orang lain.

“Selama tiga tahun menjalankan perniagaan, antara dugaan perniagaan yang pernah membuatkan kami kecewa adalah ditipu ratusan ribu ringgit oleh orang yang kami percaya.

“Alhamdulillah, saya akui kami sudah berada pada tahap ini (jutawan). Bagaimanapun, kami tidak boleh goyang kaki dan masih perlu bekerja keras dalam membantu stokis untuk menjadi jutawan pula.

“Bayangkan, duit ‘hangus’ ditipu begitu sahaja pada saat-saat kami sedang berusaha mengumpulnya untuk membuat pelaburan. Jumlahnya bukan sedikit, sesiapapun yang berada di tempat kami pasti akan berasa kecewa,” katanya.

Menurut Aeril, dia kini tidak percaya pada orang luar dan selesa menguruskan perniagaan sendiri. Malah, dia dan isteri banyak mempelajari selok-belok perniagaan bersama.

“Bagi saya dan Wawa, apa jua yang kita lakukan perlu ada ilmu. Ini juga cabaran kerana kami berdua tiada asas dan kedua-dua keluarga kami bukan berlatarbelakangkan perniagaan.

“Kami mempunyai guru-guru dalam perniagaan terutama ketika mengikuti kursus-kursus. Tidak dinafikan, sejak awal lagi kami gigih menuntut ilmu. Namun, akhirnya berbalik kepada kami juga bagaimana mahu menyusun strategi penjualan dan pemasaran.

.

“Iyalah, belajar dalam kursus hanya teori. Jadi kami sendiri yang memikirkan soal pemasaran dan melantik kumpulan yang bagus untuk bersama-sama kami,” jelasnya yang ditemui dalam majlis pelancaran Wawa Cosmetic edisi Wawa Unicorn Kit, baru-baru ini. Selain produk kosmetik, mereka juga mengeluarkan madu ajaib.

Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin, 28, pula mengaku tidak mahu mementingkan diri sendiri, sebaliknya mahu membantu lebih ramai untuk menjana pendapatan sekali gus bergelar jutawan pada masa akan datang.

“Kami sudah capai sasaran dan dapat apa diinginkan. Namun, kami masih ada sasaran iaitu mahu membantu orang lain. Kami ingin berkongsi rezeki dengan semua stokis yang selama ini membantu dalam meningkatkan jualan.

“Kalau nak kaya seorang, tidaklah kami buat sistem stokis dan ejen. Lebih baik kami jual sendiri di platform membeli-belah atas talian atau farmasi. Namun, kami suka sistem yang diguna pakai sekarang kerana melaluinya kami boleh berkongsi rezeki,” ujarnya.