Dalam situasi sedih yang belum reda kerana perceraian dengan bekas suaminya, Ogos tahun lalu, dia berdepan beberapa dugaan lagi yang menguji kesabaran.

Tiga bulan lalu doktor mengesahkan dirinya menghidap masalah batu karang dalam hempedu yang selama ini disangkanya hanyalah gastrik. Tidak cukup memikirkan penyakit keturunan itu yang merisaukan, anak sulungnya, bekas vokalis Putera Band, Muhammad Haziq Hasbullah, 19, cedera parah dalam kemalangan jalan raya apabila motosikal dinaiki bergesel dengan kereta pada pukul 1.30 pagi pada 5 Julai lalu.

Itulah antara ujian hidup yang sedang membelenggu bekas anggota kumpulan Eva , Norhaslinda Ishak, 42, ini yang mengaku ada sebab mengapa dia terpaksa membuka hijab apabila dicemuh kerana tidak memahami .

Ikuti cerita Linda Eva membicarakan episod-episod luka yang sedang dilaluinya,memohon doa agar bebanan dipukul akan melalui pengakhiran yang baik.

BUKA HIJAB

APABILA dilihat tidak berhijab ada yang kurang senang dengan tindakannya.

“Waktu naik ke pentas untuk menyanyi, saya masih berhijab.

Bagaimanapun ketika menjalani aktitivi seharian atau di luar waktu kerja saya tak pakai tudung. Jadi ada yang fikir saya main-main soal memakai tudung.

“Ada yang fikir saya bagi alasan tak bertudung sebab sering sakit kepala. Saya nak tegaskan itu bukan penyebabnya dan tak berhijab macam dulu juga bukan kerana saya tertekan dengan perceraian,” katanya.

CEDERA PARAH

AIR mata bagai sudah kering. Itulah kata-kata Linda yang menerima kunjungan Pancaindera di wad tingkat 5, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia), Cheras, Kuala Lumpur.

“Tak sangka Haziq kemalangan lagi. Sebelum ini dah dua kali pernah kemalangan motosikal. Kali pertama ketika membonceng motor dengan penyanyi Aiman Tino, sewaktu dia dalam tingkatan dua. Haziq cedera ringan, Aiman pula patah bahu.

“Akhir tahun 2017 motor yang ditunggangnya berlanggar dengan lori yang sedang di parkir. Dia cedera bahagian tengkuknya.

“Baru-baru ini, ketika Haziq membonceng motosikal dengan rakannya di Bukit Jalil, motor mereka bergesel dengan kereta sampai dia tercampak atas bahagian depan kereta itu. Kaki kanannya cedera parah. Kawannya hanya cedera ringan.

“Doktor kata, Haziq perlu menjalani pembedahan serius. Setakat ini, sudah dua pembedahan dilakukan kerana saluran darah pecah akibat kemalangan .

“Selepas ini, kena menjalani pembedahan susulan bagi mengatasi masalah urat saraf di bahagian kakinya terputus. Doktor berusaha sedaya upaya untuk membuat yang terbaik agar kaki Haziq tidak dipotong memandangkan usianya masih muda .

“Melihat keadaannya terbaring atas katil dan kecederaan ditanggung, saya berasa tertekan. Kerisauan saya bertambah-tambah dari sehari ke sehari memikirkan kos pembedahan serta rawatan Haziq ini.

“Tawaran show untuk saya dah kurang. Perniagaan bekas suami pun tidak sebaik dulu. Pada waktu begini, saya berdoa tak henti, buat solat tahajud setiap malam. Alhamdulillah ini dapat memberi kekuatan dan ketenangan dalam jiwa berkecamuk. Kaum keluarga dan kawan-kawan tak putus memberi semangat.

“Terima kasih saat saya sedang diuji, ramai bagi sokongan moral. Ada juga bagi sumbangan ikhlas. Hanya Allah yang mampu membalas jasa kalian,” cerita Linda yang mempunyai empat orang anak. Selain Haziq tiga lagi anaknya ialah Nur Afrina, 15, Nur Syuhadah,14, dan Nur Aliya, 9.

BATU KARANG DALAM HEMPEDU

TIDAK mahu menjalani pembedahan. Linda yang disahkan doktor menghidap batu karang dalam hempedu berharap sembuh melalui rawatan tradisional sahaja.

“Sebelum ini saya sentiasa migrain, sakit ulu hati, pernafasan terganggu dan membataskannya untuk aktif.

“Perut kadangkala pedih. Ingatkan gasrtik. Bagaimanapun, doktor kata ada batu karang dalam hempedu. Terduduk juga mendapat pengesahan ini. Ini adalah penyakit keturunan atau genetik keluarga saya. Sesudah nenek, emak kini saya.

“Tak mahu rawatan moden kerana nenek saya yang menghidap penyakit sama tidak dapat diselamatkan. Saya nak jalani rawatan alternatif.

“Setiap hari diuji kesakitan. Kadang-kadang rasa seperti separuh mati sebab terlalu sakit. Hanya Allah tahu sakitnya.

“Dalam keadaan sekarang saya kena hentikan seketika rawatan saya sebab kena ada di sini menemani Haziq yang sedang terlantar di hospital,” cerita Linda sedih.

PUNCA CERAI

APABILA bercerai dengan bekas suaminya, Hasbullah Mohd Saleh pada Ogos tahun lalu, Linda memikirkan usaha selain menyanyi untuk menjaga keempat-empat orang anak mereka.

“Bukan senang menjadi ibu tunggal. Sebelum ini, semua perkara termasuk wang ringgit dikongsi bersama suami. Saya tak nak salahkan bekas suami. Keadaan ekonomi negara turut menjejaskan perniagaannya.

“Kami mengambil keputusan cerai cara baik. Biar dia dapat tumpukan kepada perniagaan dan pulihkan masalah perniagaannya. Kami tak bermusuh. Dia pun tak lekang bertanya soal anak.

“Saya memikirkan kalaulah dapat tiga atau empat show dalam sebulan pun jadilah untuk menyara diri dan anak-anak,” katanya bercakap kos sara hidup.

“Memang terfikir nak mencari pekerjaan sampingan selain menyanyi namun sekarang fikiran bercelaru sebab anak terlantar dalam wad” cerita Linda.

Linda berterima kasih kepada yang sudi menghulurkan bantuan untuk membantu kos rawatan anaknya.

Kepada sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan boleh melalui akaun Maybanknya, Norhaslinda Ishak (114067310531).

TAK BERMUSUH

LINDA menafikan dia dan anggota kumpulan Eva sedang bermusuh dan itu punca mereka tak sehaluan. Selain Linda, anggota lain Eva ialah Izzu, Rina dan Mimi.

“Tidak ada sebarang pergaduhan. Faktor usia dan komitmen masing-masing membuat kami membawa haluan masing-masing.

“Susahlah nak bergerak secara berkumpulan kerana saya sendiri ada masalah dan hal yang harus diselesaikan. Jadi sebab itu saya ambil keputusan sejak lebih setahun lalu, menyanyi secara solo.

“Bagaimanapun, kami sudah seperti adik-beradik. Pernah sama-sama susah dan senang. Jikalau ada undangan mahu kami bertiga, saya memenuhi kemahuan,” kata Linda yang akan muncul dengan lagu sendiri tidak lama lagi.