“Sedak! (seronok)
“Asif tahu tak yang Asif ada ramai peminat?
“Tau…”,
“Berapa ramai?
“Lapey oghe! (lapan orang)”. 

 

Respon bersahaja Mohd. Asyiff atau Asif pada pertanyaan penulis terus mengundang gelak semua yang berada studio Utusan ketika itu. 

Dia mungkin belum memahami sepenuhnya apa itu dunia popular. Tetapi bermula dengan inisiatif dan kreativiti Syahmi, telah menjadikan remaja autisme berusia 17 tahun ini semakin mencuri perhatian warganet.

Menurut Syahmi, idea mahu menampilkan adik sepupunya itu timbul secara kebetulan kerana setiap kali mereka berjumpa, dia suka mengusik Asif. 

“Dulu dia terpinggir, semua orang takut hendak dekatinya. Tapi sebenarnya, kalau dia nampak orang walaupun dari jauh, dia yang lebih takut dan terus menyorok di belakang pintu. 

“Kami sekeluarga suka menyakat dan terhibur dengan gelagatnya. Jadi timbul idea hendak libatkan dia dalam video yang saya hasilkan,” cerita Muhammad Syahmi memulakan perbualan.  

Semenjak kerap berlakon dalam video, Asif banyak berubah sikap. Dia sudah boleh bergaul dan menyesuaikan diri dengan orang sekeliling. Pun begitu, Syahmi tidak menafikan di awal kemunculan Asif, dia menerima pelbagai reaksi negatif dan kritikan daripada sebilangan warganet. 

Namun kritikan itu bertukar menjadi komen positif malah pengikutnya akan tertanya-tanya jika Asif tidak muncul dalam video. 

“Bagi yang baru menonton video kami, ada yang terkejut dan tidak faham dengan karakter Asif sehingga ada yang tanya kenapa ambil pelakon bodoh dan suruh tukar orang lain. Kalau mereka ikuti dari awal, saya sudah perkenalkan siapa Asif dan jelaskan keadaannya.

“Sekarang, kalau Asif  tidak muncul dalam video, warganet akan bertanya. Begitu Juga Asif, dia akan tanya bila hendak buat video?,” katanya.

Tak sengaja tular

Mengimbas semula perjalanan bagaimana dia menjadikan platform media sosial berjaya, ia bermula selepas video seminit yang dimuat naik dalam Facebook tular kira-kira tiga tahun lalu. 

Secara tidak langsung membuka pintu rezeki dan kini dia bergelar pembikin video kereta dan drama spontan menerusi saluran YouTube. 
 

 

Tambah menarik, dia bijak menyelitkan topik dan isu semasa yang dekat dengan masyarakat. Antaranya isu harta pusaka, hubungan suami isteri dan cinta monyet, 
“Video tentang lelaki memilih rupa yang saya muat naik, tular. Idea video itu pun datang semasa saya sedang bosan dan tak tahu hendak buat apa.

“Sejak itu saya aktif menghasilkan video sampai sekarang. Kalau dulu, saya akan buat skrip dan fikirkan jalan ceritanya.

“Kemudian saya akan terangkan pada Asif dan ajar dia satu persatu perkataan yang dia perlu sebut. Masalahnya, dia suka tengok kamera.

“Jadi saya tukar dengan konsep spontan dan cuma beritahu serba sedikit apa yang dia perlu buat dan rakam gelagatnya,” jelasnya. 

Tambah Syahmi, dia bersyukur kerana kini mempunyai satu juta pengikut Instagram dan lebih satu juta pengikut dalam saluran YouTube.

“Selama tiga tahun hasilkan video, pernah dalam masa 24 jam video saya mendapat 720,000 tontonan. 
“Dulu hanya kalangan warganet yang komen tapi sejak Asif ada, artis seperti Harry (Khalifah) dan Shaharul Ridzwan pun turut komen dan suka video saya,” tuturnya.