Begitulah hasrat penyanyi Ziana Zain yang mengaku terkesan dengan permasalahan yang menimpa bintang filem ternama itu. Sungguh, dia bersimpati dengan apa yang terjadi kepada wanita berkenaan.

“Jangan ditanya lanjut kepada saya penjelasan terhadap setiap isu yang sedang dihadapi Erra. Saya tidak tahu menahu sebab hanya membaca di surat khabar dan tahu daripada media sosial.

“Sebagai kawan baik, saya terpanggil untuk menyuntik semangat kepadanya biarpun dari jauh,” katanya merujuk kepada isu yang sedang melanda pasangannya dalam filem Maria Mariana itu.

Pun begitu, Ziana yakin Erra mampu mendepani segala kemelut yang sedang dihadapinya itu kerana dia wanita kuat. Sebagai anak seni sejati, Erra pasti dapat menempuh momen sedih tersebut walaupun perit.

Atas sebab itu, dia mengambil keputusan untuk tidak mencampuri urusan peribadi pelakon filem Pasrah itu buat seketika. Tunggu saja masa bersesuaian, pasti dia akan mencari masa untuk bersua muka.

ZIANA yakin Erra mampu mendepani kemelut yang dihadapinya.
ZIANA yakin Erra mampu mendepani kemelut yang dihadapinya.

“Hanya dia seorang yang mengetahui apa yang sedang dialami waktu ini. Kita tak boleh menjangkakan apa yang sedang dia rasakan sebab kita tidak berada dalam situasinya.

“Jadi tak salah kalau kita beri dia sedikit ruang untuk dia bernafas dan mengatasi masalah yang sedang dihadapi,” ujarnya.

Kontroversi pergaduhan membabitkan persahabatan Erra dengan Datin Seri Umie Aida menarik perhatian banyak pihak pertengahan Jun lalu dan sudah pun diselesaikan tidak lama kemudian.

Malah Erra turut mendedahkan bahawa hubungan rapatnya dengan Juara Akademi Fantasia Musim Kelapan (AF8), Shahir Zawawi berakhir Januari lalu.

Erra juga dilihat reda dengan suratan takdir itu walaupun mempunyai perancangan untuk berkahwin dengan lelaki berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Ziana mengakui dia mengimpikan sebuah konsert berskala besar dan diingati peminat satu hari nanti. Harapannya amat besar jika impiannya itu dapat dilaksanakan mengikut citarasanya sendiri.

Gabungan penataan cahaya dan bunyi serta pemuzik profesional antara elemen penting untuk mencapai impiannya itu. Selain itu, strategi pemasaran yang betul amat diperlukan bagi menarik lebih ramai peminat.

“Jika ada rezeki, saya teringin nak buat sebuah konsert besar yang dapat memberi kebaikan kepada semua. Saya nak wujudkan satu aura yang menyeronokkan waktu itu.

“Saya percaya impian ini akan direalisasikan satu hari nanti. Jika ada rezeki saya dapat bertemu dengan penaja dan pasukan yang terbaik, kita tengok sahaja nanti,” kata penyanyi lagu Kemelut Di Muara Kasih ini.