Menurut Elyana, sebagai manusia biasa sukar untuk dia bersikap biasa memandangkan apa yang di tulis memang mengguris hatinya.

Malah antara pertanyaan yang membuatkan dia cukup kecewa apabila ada yang bertanya bila dia akan mati.

“Saya manusia biasa sama seperti orang lain bila baca benda-benda ini memang saya akan terkesan. Tambah-tambah bila saya sedang sakit atau sedang terima rawatan.

“Bila tanya bila hendak mati itu ibaratnya mereka tidak suka saya hidup. Saya tanya juga apa yang sudah saya lakukan sampai orang mahu saya mati.

“Cuma buat masa ini saya hanya boleh berdoa tetapi saya tahu hanya Allah boleh membalasnya,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman konsert Elyana Jadi Diriku 19 sebentar tadi.

Sementara itu bercakap mengenai konsert Elyana Jadi Diriku 19 Live In Concert yang akan diadakan pada 6 Julai depan, kongsi Elyana ini adalah impian terbesarnya sejak bergelar penyanyi pada umur 15 tahun.

“Ini adalah memori yang mahu saya cipta, bukan sahaja untuk diri saya tetapi keluarga dan peminat.

“Saya juga mahu buktikan kanser tahap empat bukan pengakhiran hidup. Sepatutnya kita perlu teruskan hidup seperti biasa dan itu yang mahu saya tunjukkan kepada mereka yang selama ini memberikan kata-kata sokongan,” katanya.

Konsert Elyana Jadi Diriku 19 Live In Concert akan diadakan di Bently Music Auditorium, Damansara.

Tiket untuk konsert ini boleh didapati melalui Shopee dengan harga bermula RM159 hingga RM199. - UTUSAN ONLINE