“Kahwin? Sekarang pun boleh kalau saya mahu,” jawab pula Zul Ariffin, dalam nada berseloka. 

Orang kata mereka berdua sudah terlajak bujang. Nak kata tak kacak, lebih daripada itu mereka ada.  Bergaya, kaya, popular. Tetapi, pada usia ini masih tak ada teman hidup, kenapa ya?

Agak sensitif topik ni, tapi nak buat macam mana, ramai yang tanya. Kenapa Remy dan Zul Ariffin tak kahwin-kahwin lagi? 

Sukar untuk dijawab, itu semua kuasa Allah SWT.  Namun yang pasti, belum berkahwin bukan bermaksud tidak ada siapa yang mahu. Mungkin saja mereka belum bersedia atau lebih tepat lagi, jodoh belum sampai.
 

 

CERITA SANGKAR

Terbaharu dua jejaka ini bakal dalam filem yang sama berjudul Sangkar yang akan menjengah pawagam seluruh negara mulai 29 Ogos ini. 

Sepakat mengakui yang Sangkar bukan filem sembarangan, filem arahan Khabir Bhatia itu mengambil kisah berlatarkan seni mempertahankan diri campuran (MMA) adalah yang pertama ditayangkan kepada penonton tempatan.

Kata Remy, penglibatannya dalam Sangkar memberi kelainan kepada corak lakonannya berbanding sebelum ini.  Zul pula berpuas hati lantaran dia melakukan melakukan beberapa babak pertarungan tanpa bantuan pelakon lagak ngeri. 

“Bila berlakon filem aksi, keselamatan perlu diberi keutamaan. Alhamdulillah, pihak produksi sentiasa bersedia dengan ahli paramedik bila tiap kali babak pertarungan berlangsung.

“Pengarah mahukan visual yang lebih ‘hidup’ di skrin. Maka, saya dan Remy duduk berbincang terlebih dahulu supaya tidak ada perkara yang tak diingini berlaku,” ujar Zul. 

Selain Zul dan Remy, filem ini turut menampilkan pelakon Mira Filzah, Fadlan Hazim, Aman Graseka, Carliff Carleel, Adam Mika, Ray dan Andy Teh.

SAYA TAK MALANG DALAM CINTA - REMY

PENGHUJUNG cintanya tidak pernah indah. Bercinta dengan ramai gadis cantik namun pengakhirannya tidak semolek yang diharapkan.

 Suatu ketika, tidak cukup baikkah Ummi Nazeera buat Remy?  Tidak cukup sempurnakah Tizz Zaqyah pelakon utama drama Nur Kasih ini? Atau tidak serasikah lelaki kelahiran Melaka ini dengan bekas tunangnya, Ezza Yusof? 

Mengapa sukar untuk Mohammad Zalimei Ishak atau Remy memilih pasangan hidup sehinggakan dia terlajak bujang sampai ke umur 37 tahun?

“Jika diikutkan dengan perjalanan cinta dan pengalaman sebelum ini, saya tidak rasa diri ini malang dalam bercinta. Cuma proses perkahwinan itu bukan satu yang mudah. 

“Ikatan cinta dalam kelompok selebriti juga agak rumit. Perlu ambil masa yang lama untuk berkawan kerana sukar untuk mengenali saya. 

“Saya mengambil berat bab pertalian dan perhubungan. Terlalu banyak tengok perpecahan, jadi saya ambil ia secara serius apabila melibatkan perkahwinan,” luah Remy. 

Pernah dikatakan takut memegang sebarang komitmen dalam rumah tangga, jelas Remy perkahwinan itu bukan sesuatu perkara kecil yang boleh dicuba uji. 

Sekali melafazkan akad, pelakon Lelaki Kiriman Tuhan ini mahu selamanya bergelar suami yang setia. 

“Saya sedikit pun tidak kisah kalau orang kata kita ni bujang terlajak.  Katalah apa yang mereka mahu, saya tetap rasa muda. 

“Selalu rasa muda sebab saya sibuk kerja. Saya gembira dengan kerja namun tidak elak untuk berkahwin. Keseronokan itu buat saya tidak sedar masa berlalu pergi,” katanya. 

Masih mengekalkan aturan tradisional dalam mencari bahagia, selagi masih belum ada apa-apa sebarang hubungan dengan wanita, Rem belum bersedia berkongsi. 

“Saya masih kuno dalam bab-bab perhubungan. Masih mengikut cara tradisional yang mahu hubungan itu dijaga adat dan adab. 

“Jika ada orang kata saya takut, sebenarnya saya bukan takut tapi masih mendalami ilmu agama dan rumah tangga supaya benar-benar bersedia menjaga amanah sebagai suami kelak,” luahnya yang menafikan wujud hubungan istimewa bersama pelakon Mira Filzah.

TAHUN DEPAN JADI SUAMI

PADA usia meniti angka 32 tahun, bintang filem J Revolusi ini tanpa menyembunyikan rahsia, akuinya kini dia sudah bersedia membina rumah tangga dan sekali gus menamatkan zaman bujang.

“Saya memikirkan untuk berkahwin selewat-lewatnya penghujung tahun depan. Cuma disebabkan banyak perkara yang perlu saya lakukan, fokus ke arah itu tertangguh sekejap.

“Sejujurnya, niat untuk berumah tangga itu memang dah lama saya fikirkan sejak dulu lagi. Ya, sudah tentu saya akan berkahwin. Saya boleh kahwin bila-bila masa sahaja yang saya mahu!” ungkapnya yang masih meletakkan teka-teki bila tarikh sebenar dia akan berbuat demikian.

Jejaka dengan ketinggian 185 sentimeter ini tidak mempunyai impian besar untuk mengadakan sebuah perkahwinan gah sesuai dengan gelaran selebriti yang disandang.

“Saya sendiri tak sabar nak kahwin. Tetapi tanggapan orang terhadap perkahwinan selebriti yang perlu tampak meriah dan sebagainya, tidak akan saya penuhi. Tiada majlis gilang-gemilang pada hari bahagia saya, cukup sekadar mendahulukan mana yang lebih penting, itu lebih baik.

“Mestilah saya akan umumkan tentang berita gembira itu (kahwin). Cuma maaf, tiada sidang akhbar diadakan.

“Saya juga tidak akan berkahwin secara rahsia kerana pada saya alam perkahwinan itu satu hal yang cukup indah untuk dikongsikan kepada semua,” katanya berbunga riang.

Baru-baru ini, Zul mengumumkan bakal menamatkan zaman bujang pada tahun hadapan.
Tanpa  memperincikan siapa gerangan wanita pilihan hatinya itu, gadis yang berjaya menawan hatinya itu bukan dalam kalangan selebriti dan bukan beragama Islam.

“Saya nak halalkan hubungan dan terus kahwin. Buat masa ini, saya mahu bakal isteri saya itu mengenali lebih dekat agama Islam secara lebih mendalam. 

“Institusi sesebuah perkahwinan itu tidak memberi sebarang tekanan pada saya secara peribadi.

Malah, saya juga tak rasa ia satu bebanan yang perlu digalas. Secara jujur saya katakan, selepas berkahwin, di situ bermulanya tanggungjawab seorang lelaki,” katanya lagi.