Namun lain pula cara bagi Pengetua Pondok Motivasi Hamlatul Quran (PMHQ), Dr. Mohd Ashraf Suarin, 37, yang lebih cenderung mendidik ajaran al-Quran dalam jiwa anak-anak kecil agar mereka tidak mudah melatah apabila berhadapan dengan tekanan pada masa akan datang.

Bagi Dr. Ashraf, fitrah manusia adalah kembali kepada al-Quran setiap masa adalah punca ketenangan hidup.

“Di pondok motivasi ini, saya sangat menekankan kecintaan kepada Al-Quran sebagai kalam Allah yang memberikan kekuatan utama pada kami di PMHQ untuk meneruskan usaha mendidik jiwa dan akhlak anak-anak.

“Jika kita sentiasa berbalik kepada al-Quran dalam apa jua situasi, insya-Allah jiwa lebih tenang. Inilah yang saya tekankan agar para pelajar di sini boleh melalui pelbagai cabaran kehidupan pada masa akan datang,” kata Dr. Ashraf yang berharap para pelajarnya sentiasa berpegang kepada al-Quran agar hidup lebih harmoni.

Di PMHQ, Dr. Ashraf menekankan kasih sayang kepada anak-anak terbiar dan kecintaan pada kitab suci itu yang menjadi kunci utama kewujudan PMHQ.

Melalui kasih sayang dan ajaran al-Quran, seseorang akan mencapai ketenangan jiwa.

“Bagi saya, kedua-dua faktor ini adalah satu aspirasi penting iaitu selain ilmu, nilai kecintaan sesama insan juga harus dipupuk sebagai antara ikatan utama pendidikan tahfiz.

“Tanpa mengira latar belakang sosial dan kemampuan ekonomi, PMHQ memilih untuk mengutamakan misi membantu anak-anak tahfiz meningkatkan kualiti sahsiah diri melalui pendidikan al-Quran.

“Tidak semua pusat hafazan milik pelajar pintar saja. Ada yang sederhana tetapi proses menghafaz walaupun perlahan tetap berkesan untuk pembangunan jiwa dan iman mereka.

“Pembangunan jiwa penting agar mereka dapat membesar dengan lebih sempurna,” katanya.

Beri perlindungan

PMHQ yang diasaskan pada 3 Mac 2013 terbuka kepada kanak-kanak dan remaja yang ingin mendalami al-Quran.

Dr. Mohd Ashraf berkata, PMHQ bertapak di Kampung Blok J, Sawah Sempadan, Tanjung Karang, Selangor mendapat banyak dana hasil sumbangan orang awam.

“Sekarang Alhamdulillah, kami bangunkan PMHQ dan sudah 90 peratus sempurna. PMHQ memilih bersikap ihsan dengan menerima pelajar yang terbiar akibat krisis keluarga dan kemiskinan.

“Tidak semua perkara duniawi kita kejar untuk bermegah-megah. Aspirasi tahfiz tidak wajar dijadikan perlumbaan untuk menjadi hebat seperti Universiti Oxford atau Cambridge.

“Kita membantu pelajar sederhana juga sebab al-Quran itu penyuluh jalan hidup. Bukan alat berbangga-bangga demi status peribadi. Walaupun ketat dalam disiplin tahfiz, PMHQ meraikan gaya hidup berkesenian dan rekreasi.

“Dalam masa sama, kami juga tidak mengenepikan muzik yang menjadi antara terapi seni untuk anak-anak tahfiz mengisi waktu berkreatif. Malah, band Metal Islamik, Al Farabi antara rakan seni PMHQ,” katanya lagi.

Malah, beliau turut menjelaskan peranan PMHQ juga memberi perlindungan kepada anak-anak terbiar.

“Kami juga memberikan perlindungan kepada anak-anak malang. Prinsip ihsan yang sejajar dengan sifat al-Quran itu sebagai pelindung. Ada pelajar miskin yang keluarga tidak mampu beri makan, kami ambil tanggungjawab itu.

“Jadi di sini ingin saya tekankan, selain belajar tahfiz, kami juga menjaga kebajikan dan beri mereka didikan al-Quran.

“Mendekati al-Quran penting untuk merawat jiwa terutama bagi anak-anak yang mengalami kesedihan ketika membesar dalam masalah kekeluargaan.

“Saya yakin selain kasih sayang tenaga pengajar, al-Quran adalah perawat jiwa mereka. PMHQ turut mengutamakan kualiti tenaga pelajar.

“Di sini kami menggabungkan kepelbagaian kemahiran dalam proses pendidikan. “Sebahagian besar tenaga pelajar lulusan universiti tempatan. Ini penting untuk mempelbagaikan kaedah pendidikan di sini,” jelasnya lagi.