Seperti rakan sebaya lain yang masih bebas menjalani kehidupan sebagai anak muda, penyanyi yang popular dengan lagu Nyawa Dan Raga itu perlu berdepan dengan kerjaya, populariti serta kontroversi yang adakala datang menghambat.

Walaupun masih muda, kematangan Sarah menggambarkan siapa dirinya yang sebenar dalam mencorak  masa depannya.

 

“Kalau ikutkan darah muda dan kawan-kawan, memang nak ‘enjoy’ sahaja tapi kebanyakan rakan saya menyambung pengajian jadi kami jarang berjumpa. Kalau dapat lepak pun masa mereka tengah cuti semester sahaja.

“Jadi untuk nak ‘enjoy’ sangat, memang tak selalu lah. Lagi pula saya tinggal di luar Kuala Lumpur yang mana sedikit sebanyak membuatkan saya rasa beruntung tak bercampur dengan orang yang terlalu berfikiran terbuka.

“Pun begitu, saya tak kisah kalau orang itu terlalu terbuka tapi berada dalam industri, saya kena pandai jaga diri,” ujar Sarah.

Namun secara jujur dia mengakui pernah berasa kejutan budaya ketika awal menyertai dunia seni. Namun,  dia memegang prinsip sekiranya sesuatu perkara itu memberi kesan buruk kepadanya, lebih baik dihindari. 

Tambah Sarah, dia mengaku pernah diajak ke kelab malam namun sebagai perempuan Muslimah, dia bijak menangani pelawaan tersebut.

“Ada juga rakan saya yang pergi kelab malam tetapi tidak semestinya saya menghakimi mereka dengan gaya hidup yang bebas.

“Tidak mengapa, itu pilihan dan hak mereka, biarkan mereka. Yang pasti, saya selalu pesan pada diri sendiri untuk tidak lakukan hal yang ditegah keluarga lebih-lebih lagi saya seorang penyanyi.

“Saya takut benda-benda itu sebenarnya tetapi Alhamdulillah, sehingga kini iman saya masih teguh walau ada juga orang yang ajak (pergi kelab malam) dan berpoya-poya,” tegasnya.

Kuatkan mental
Tambah  juara Big Stage musim pertama itu lagi, dia masih lagi di bawah tanggungjawab kedua-dua orang tuanya memandangkan usianya yang masih bawah umur.

Mengakui di awal pembabitannya dalam dunia seni, ibunya sukar melepaskan dia untuk mengejar cita-cita sebagai penghibur.

“Ibu adalah orang yang paling susah nak lepaskan saya untuk jadi suri teladan. Berbeza dengan ayah yang memang langsung tidak menghalang.

“Biasalah, ibu mana yang tak risau nak lepaskan anak perempuan dia untuk menceburi bidang seni yang diketahui banyak dugaan dan sebagainya.

“Tapi memang sebelum bergelar penyanyi, saya dah cakap pada diri sendiri yang saya kena kuat mental dan fizikal sebab benda-benda yang kita tak ingini akan berlaku. 

" Jadi saya kena bersedia,” jelasnya yang baharu keluar dengan single ketiga berjudul Rise and Fall.
Sementelah itu, Sarah bukanlah seorang yang gemar lari daripada masalah malah berani kerana benar demi tidak mahu mengeruhkan keadaan.

Elak berfoto dengan lelaki
Memahami sebagai seorang pelaku seni, dia tidak dapat lari daripada sebarang kontroversi, dia lebih suka mengambil pendekatan untuk berbicara perkara yang sahih dan tepat.

“Gosip dan kontroversi sebagai insan seni memang tak boleh lari.  Saya cuba untuk tidak perbesarkan hal tersebut dan akan menjawab sejujurnya kalau ada yang datang bertanya.

“Misalnya, sebelum ini saya pernah digosipkan bercinta dengan penyanyi Ariff Bahran yang mana ia tidak benar sama sekali.

“Jadi apa yang saya lakukan adalah  tidak memanjangkan hal tersebut. Saya semakin berhati-hati memuat naik foto dalam laman sosial dengan artis lelaki. Saya tak nak orang luar fikir benda yang bukan-bukan.

“Bagi saya kontroversi ini tak manis dan agak pahit juga nak hadap. Kadangkala ada artikel yang tak tahu apa tiba-tiba keluar kisah saya bercinta. Masa bila temu bual saya, tak ada yang datang bertanya pun,” ungkapnya yang tidak mahu mengambil tahu hal yang tiada kaitan dengan dirinya dan membiarkan ia lupus sendiri.