Semuanya kerana Siti Nurhaliza adalah seniwati yang sentiasa menjadikan kejujuran sebagai akar perjuangan seninya selama lebih dua dekad menjadi penghibur rakyat.

Iltizam Siti Nurhaliza terhadap seni lakarannya berpaksikan pada apa yang dikehendaki oleh peminat-peminatnya dan bertitik tolak dari situ, setiap kali muncul dengan karya yang baharu, beliau mencipta trend yang berpanjangan.

Terbaharu, SimetriSiti yang menjadi tajuk album penuh ke-18 beliau menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan peminat-peminat setianya yang menggelarkan diri sebagai Siti Zonner.

Pada mata Siti Nurhaliza, peminat-peminatnya merupakan sebab kenapa dia masih bertahan kukuh dalam gelanggang muzik sekalipun sepanjang penglibatannya sebagai anak seni, terlalu ramai penyanyi baharu muncul silih berganti.

Simetrisiti mengukuhkan cengkamannya dalam bidang seni dan tidak keterlaluan untuk menyifatkan, beliau masih lagi menjuarai carta hati peminat muzik tempatan.

Datanglah seratus artis baharu pun, anak kelahiran Pahang ini tidak pernah gentar atau beralih tempat. Dia kekal penyanyi nombor satu negara, tiada galang ganti hanya satu dalam sejuta.

Menganggap album itu sebagai satu pencapaian baharu secara peribadi, banyak magis berlaku dalam SimetriSiti. Yang pertama, impiannya untuk berduet dengan Judika tercapai menerusi lagu Kisah Ku Inginkan.

“Album ini adalah satu pencapaian baharu dalam kerjaya saya. Malah, impian saya untuk menghasilkan album menggunakan orkestra luar negara juga terlaksana dengan lima lagu menggunakan komposisi muzik orkestra.

“Malah, dalam album ini juga saya berjaya mendapatkan lagu ciptaan Opick. Boleh dikatakan lagu paling ‘mahal’ tetapi sangat berbaloi. Bagi saya, setiap lagu ada kelebihan dan kekuatan masing-masing.

“Dalam album ini juga saya mencorakkan vokal dan nyanyian dengan cara yang berbeza. Setiap album memang Siti akan tampilkan kelainan dan keistimewaan tersendiri,” katanya berkongsi pandangan mengenai SimetriSiti yang mula dipasarkan hari ini.

Bercerita tentang pembikinan album SimetriSiti, Siti Nurhaliza memaklumkan dia terpaksa bersengkang mata dan telinga untuk memilih 10 lagu terbaik daripada 300 lagu yang diberi.

Jelasnya, pemilihan lagu dan proses rakaman memakan masa lebih lima bulan serta dilakukan secara berperingkat-peringkat demi memastikan kualiti album yang disifatkan sebagai identiti seseorang penyanyi.

“Dua tiga kali juga saya datang ke pejabat untuk mendengar lagu-lagu yang diberikan. Saya tidak tahu siapa komposer dan penulis lirik sebelum memilih 10 yang terbaik.

“Bagi mendapatkan album yang benar-benar berkualiti dan terbaik, memang kita sebagai penyanyi kena ‘keluar’ duit lebih. Selalunya kalau 10 lagu dalam satu album memang akan cecah ratusan ribu,” katanya.

Sempena dipasarkan hari ini, Siti Nurhaliza mengakui tidak tertekan sebaliknya teruja apabila memasuki studio bagi proses rakaman SimetriSiti.

Bagi penghibur kelahiran Kampung Awah, Kuala Lipis, Pahang ini, penghasilan sebuah album merupakan momen penting dalam hidupnya.

“Saya tidak tertekan, tapi lebih kepada teruja dan tidak sabar untuk masuk studio merakam lagu. Sebab momen dalam studio itu, walaupun memenatkan, saya dalam merasai satu pengalaman baharu.

“Penyanyi semestinya berasa seronok dan gembira menghasilkan album baharu. SimetriSiti merupakan satu interpretasi saya berterima kasih kepada semua pihak yang selama ini membantu kerjaya seni saya,” katanya.

Terima kasih peminat

HUBUNGAN akrab Siti Nurhaliza dengan peminat-peminatnya sesuatu yang tidak mampu dinafikan lantaran buah hati rakyat Malaysia dan Indonesia itu sangat bijak memenangi hati pencinta-pencintanya melalui muzik.

Setiap kali sama ada lagu atau album baharu dilancarkan, Siti Nurhaliza tidak perlu bersusah payah mempromosikannya kerana peminat-peminatnya dengan rela hati akan bekerja keras membantu memperkenal karya-karya penyanyi itu.

Memikirkan pengorbanan peminat wajar dibayar dengan sentuhan peribadi, maka kotak idea Siti Nurhaliza digerakkan oleh Yang Maha Esa untuk menulis nota muzik bertajuk Penghiburku yang merupakan terjemahan kasih dan cinta penyanyi itu buat golongan pendukung yang datang dari pelbagai latar belakang.

Menariknya, Penghiburku yang lagu dan liriknya ditulis Siti Nurhaliza turut menampilkan kolaborasi bersama Joe Flizzow.

“Lagu ini sebenarnya hadir pada waktu yang sangat tidak disangka-sangka.

“Saya sedang berdebar menantikan kelahiran cucu, Arif Jiwa Muhammad Asyraf di hospital dan tiba-tiba ilham hadir.

“Saya terus merakam melodi lagu ini menggunakan telefon bimbit dan menghantarnya kepada Aubrey Suwito.

“Nasib baik dia (Aubrey) terima lagu pada saat-saat akhir untuk dimasukkan dalam album,” selorohnya.

Cetak rompak dan konsert solo

Ada nada kekesalan yang hadir tatkala penyanyi ini membuka mulut membalas pertanyaan berhubung cetak rompak. Bagaikan satu peperangan yang tiada kesudahan, Siti Nurhaliza jelas kecewa dengan sikap tidak bertanggungjawab segelintir pihak.

Baginya, masyarakat khususnya peminat sedar dengan bahaya serta akibat penyakit yang sudah lama meracuni industri muzik tanah air. Isu cetak rompak sememangnya memberi kesan yang cukup kronik kepada dunia seni.

“Ini satu penyakit lama yang susah untuk diubati. Paling penting adalah kesedaran peminat itu sendiri. Seharusnya peminat menghargai setiap kerja keras seseorang artis dalam menghasilkan album.

“Jerih perih seorang artis bergolok gadai menghasilkan karya unggul tidak seharusnya berdepan dengan isu cetak rompak ini. Sekarang, memuat naik lagu di YouTube secara haram pun merupakan salah satu contoh cetak rompak.

“Sebenarnya, dengan kecanggihan dunia sekarang kita sukar untuk mengawal perkara tersebut. Penyelesaiannya berbalik kepada peminat itu sendiri. Saya harap peminat tahu menghargai seseorang penyanyi itu,” kata Siti Nurhaliza menyuarakan keresahan.

Menutup isu soal cetak rompak, penyanyi berusia 38 tahun ini mengumumkan yang beliau bakal tampil dengan konsert solonya.

Namun, awal-awal lagi Siti Nurhaliza memberitahu, konsert itu bukanlah dalam jangka masa terdekat.

“Memang saya ada merancang untuk tampil dengan konsert solo dalam tahun ini tetapi bukan dalam masa terdekat. Mungkin di Istana Budaya atau konsert solo tetapi bukan dalam skala besar.

“Nak buat konsert, banyak benda kena sedia. Jadi memang memakan masa sedikit. Saya memang kalau boleh nak buat konsert dan nyanyi semua lagu-lagu baharu dalam album SimetriSiti,” kata Siti bercerita mengenai keinginannya.

SimetriSiti untuk AIM

Biarpun penyanyi ini sudah meraih banyak anugerah, namun dia sama sekali tidak malu mengakui album SimetriSiti adalah untuk dicalonkan dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) akan datang.

Baginya, AIM adalah anugerah yang menghargai bukan seorang penyanyi tapi juga satu kemenangan kepada kru pembikinan yang bertungkus lumus menghasilkan sesebuah album.

“Saya tak malu untuk akui album ini adalah untuk anugerah. Bukan untuk diri sendiri tetapi untuk orang di belakang tabir yang bertungkus lumus menghasilkan album ini.

“AIM merupakan anugerah berprestij yang mengiktiraf penggiat seni tidak kira penyanyi, komposer mahupun penulis lirik. Satu penghargaan dan kemenangan kepada mereka.

“Sepanjang kerjaya seni, saya tidak pernah menang Kulit Album Terbaik biarpun sudah tiga kali dicalonkan. Jadi, tahun ini memang saya sasarkan untuk menang kategori itu,” katanya mengakhiri perbualan.

Album baharu diterima baik

Sebelum SimetriSiti dipasarkan hari ini, album berkenaan membuktikan keunggulan apabila sebanyak 300 salinan eksklusif laris ditempah hanya dalam tempoh 20 minit sahaja.

“Itu satu permulaan yang sangat baik untuk album SimetriSiti. Bagi saya juga, pencapaian itu merupakan satu promosi yang baik untuk album ini. Saya bersyukur dan berterima kasih.

“Album ini sememangnya berbeza dan saya memberi penekanan dalam seluruh produksi baik dari segi komposisi lagu, penulisan lirik sehingga pembikinan kulit album dan muzik video.

“Saya juga percaya dengan kehadiran banyak album baharu daripada penyanyi senior seperti Dayang Nurfaizah dan Datuk Sheila Majid, ini merupakan satu kebangkitan bagi industri muzik kita,” katanya.