Itu gelaran yang cocok untuk diberikan kepada penyanyi, Yunalis Zarai atau Yuna yang kini semakin jauh mengorak langkah untuk menjadi penyanyi terbilang dunia.

Tengah malam tadi, Yuna berkongsi gambar iklan album terbaharunya untuk laman strim audio Spotify, Rouge yang terpampang di bangunan Times Square di New York, Amerika Syarikat (AS) dalam laman Instagram miliknya.

Papan iklan elektronik itu adalah antara papan iklan paling berharga di dunia dengan lokasinya membolehkan hampir semua orang yang berada di sekitar Times Square melihat iklan tersebut.

Pada 2018, dianggarkan lebih 300,000 orang mengunjungi lokasi itu setiap hari, menjadikan papan iklan di kawasan itu antara yang paling banyak dilihat di dunia.

Meletakkan iklan album pada papan iklan semasyhur itu menandakan Yuna boleh dianggap sebaris dengan nama-nama besar dalam industri muzik dunia.

Yuna Rouge
TANGKAP layar hantaran Yuna dalam laman Instagram miliknya. - UTUSAN ONLINE

Rouge merupakan album antarabangsa keempat dari Yuna dengan tiga single daripada album itu telah diperdengarkan kepada umum, iaitu Forevermore, Blank Marquee dan Pink Youth.

Peminat Yuna di Malaysia pasti masih ingat video muzik Forevermore yang memaparkan keindahan pemandangan negeri Perlis dan Blank Marquee yang menampilkan pelakon lelaki kegemaran ramai, Amerul Affendi.

Yuna merupakan antara penyanyi Malaysia yang paling berjaya di peringkat antarabangsa apabila diterima sebagai artis rakaman Fader Label pada 2011.

Beliau terus mengorak langkah apabila bekerjasama dengan beberapa nama besar industri muzik dunia seperti Pharrell Williams, David Foster, Owl City dan Usher lalu terus mencipta nama di AS.

Hantaran Yuna di Instagram turut mendapat komen sokongan daripada rakan arti Malaysia dan Indonesia seperti Sharifah Amani, Datuk Rossa, Anggun, Afgan dan Najwa Mahiaddin. - UTUSAN ONLINE