Pemuda berusia 23 tahun ini dikenali menerusi kreativiti video satu minit yang menyelitkan jenaka disulami nasihat dan pengajaran yang ingin disampaikan kepada umum melalui media sosial.

 

Lebih tiga tahun aktif sebagai pembikin video, Nasz gembira kerana karyanya semakin diterima ramai. Malah ada pihak menyedari dan menganggap ia sebagai dakwah.

“Pelakon Along (Cham) pernah beritahu, selain kita dapat pahala sebab buat penonton gembira dan gelak, sekurang-kurangnya mereka dapat sikit ikhtibar daripada nasihat yang saya selitkan.

“Pandangan itu saya jadikan suntikan semangat untuk hasilkan video yang lebih menarik, menghiburkan dan beri motivasi kepada masyarakat dari semasa ke semasa,” katanya yang kini mempunyai lebih 600,000 pengikut dalam Instagram.

Berkongsi pula tentang di sebalik pilihan nama komersialnya, Nasz berkata, nama itu berkait dengan konsep video yang dihasilkan.

“Orang mungkin ingat nama Nazskenyang tu merujuk pada kenyang makanan. Ada juga yang ingat pilihan nama itu sebab gambaran badan saya yang berisi ini.

“Tapi sebenarnya kenyang itu adalah kenyang ‘makan hati’, sesuai dengan video saya yang menyelitkan mesej nasihat untuk mereka yang jadikan peringatan.

“Dan selalunya kalau keluar lepak dengan kawan-kawan, saya pesan minuman saja sebab dah kenyang makan di rumah. Jadi dari situ dapat idea nak guna nama tersebut,” terangnya.
 

Dalam pada itu, anak kedua daripada tiga beradik ini mendedahkan dia pernah hilang pengikut dalam sekelip mata akibat akaun miliknya digodam.

Mujur dia pantas menyedari perkara tersebut dan usahanya mendapatkan semula akaun itu berhasil.

“Sebagai pembikin video, apabila saya dapat ramai tontonan atau ‘likes’ itu sudah cukup menggembirakan.

“Iyalah, bukan mudah untuk buat orang suka atau gelak dengan video yang kita hasilkan.

“Saya juga pernah melalui situasi akaun digodam dan ketika itu sudah cecah 150,000 pengikut. Tapi saya berjaya dapatkan semula, dan pengikut pun semakin bertambah. Mungkin itu hikmahnya,” ujarnya.

Pada masa sama, platform media sosial telah membuka jalan pada anak kelahiran Johor Bahru ini mengejar cita-cita mahu menceburi dunia lakonan.

“Saya memang minat menceburi dunia lakonan dan ada pihak yang dah nampak bakat saya. Tapi buat masa ini terlalu awal untuk dikongsi pada umum.

“Apa yang saya buat ini sebagai menimba pengalaman selain merancang untuk membuka produksi dan menerbitkan filem pendek,” katanya sebelum mengakhiri perbualan.