Maaf cakap, watak tabu sebagai wanita teraniaya, menangis, lemah dan tidak berdaya positif, itu semua bukan lagi berada dalam senarai 'kehendak' dirinya.  

Lebih 15 tahun dalam bidang seni,Fazura cukup selektif sebelum menerima sesebuah naskhah dengan mementingkan kualiti dan jalan cerita. 

Enggan semberono dalam menerima tawaran, turut diambil kira latar belakang pengarah dan kualiti skrip. 

“Drama sekarang, banyak sangat kisah yang memaparkan kisah cinta tiga segi dan wanita menjadi mangsa keadaan. Cukup-cukuplah, kerana sudah masanya kita raikan dan memperkasakan wanita pula, bukan  asyik dipukul atau reda dipukul.  

“Saya sekarang berada di tahap di mana saya harus memilih karya yang betul-betul berkualiti dan watak yang menonjolkan wanita  tabah atau berjuang untuk membela diri,” katanya sekali gus menjelaskan mengapa dia kini bersikap lebih memilih. 

Meskipun belum mendapat tawaran watak yang diidamkan tetapi Fazura berbangga kerana pernah menghidupkan karakter yang menonjolkan wanita dalam dua filemnya sebelum ini.

Pada masa sama, dia berharap dapat bekerja lagi dengan pengarah seperti Erma Fatima selepas kali terakhir untuk filem Tahajjud Cinta. 

“Filem Manisnya Cinta di Cappadocia menonjolkan karakter Ifti Liyana iaitu watak yang saya lakonkan. Satu lagi filem Pisau Cukur, gandingan saya dan Maya Karin. 

“Sebenarnya ada projek drama yang ditawarkan Erma Fatima dan karakter seperti itu yang saya mahukan tetapi masih dalam pertimbangan,” ujarnya.  

Pun begitu, dia sekurang-kurangnya boleh berpuas hati kerana sedikit sebanyak gambaran diri wanita yang kuat dan tabah ada pada wataknya menerusi filem terbaharu, Dendam Pontianak yang bakal ditayangkan mulai 12 September ini.
 

 

“Saya dan Fattah berbeza”

Dalam pada itu, Fazura bersyukur kerana hampir dua tahun melayari alam rumah tangga bersama Fattah Amin, mereka saling menyokong karier satu sama lain. 

Namun, anak jati Pekan, Pahang ini mengakui jika dirinya lebih cerewet berbanding suaminya. Fatah dilihat lebih banyak mengambil jalan menerima apa saja tawaran dan peluang dalam
lakonan yang datang kepadanya. 

“Selepas lima tahun dalam industri, ini masa dia untuk merebut semua peluang. Sebagai isteri, saya sokong apa saja keputusannya. 

“Lagipun sekarang ini dia dapat beberapa peluang termasuklah produksi luar pun sudah nampak bakatnya,” katanya. 

Semakin matang mengharungi hidup, dia yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-36 pada 27 September ini berazam menjauhi hal negatif.

“Saya percaya sesiapa saja yang didatangkan oleh Tuhan dalam hidup saya, ia sebagai ‘guru’ untuk mengajar tentang sesuatu hal. 

“Saya mahu jauhi diri daripada semua hal negatif. Terpulanglah dengan apa yang orang di luar sana mahu katakan. 

“Semoga Tuhan terus lindungi saya dari segala kejahatan, niat yang tidak baik dan dikurniakan ketenangan dan kebahagiaan bersama keluarga,” doanya.