Senyuman dan renungan mata sesama mereka, bagai memberi gambaran benih cinta yang disemai sejak November tahun lalu, cepat benar tumbuhnya. Dan, kini harum mewangi bagaikan si bunga yang sedang mekar berkembang. 

Hanya setelah tiga kali keluar makan malam bersama, Aiman terbuka hati untuk terus melamar si cantik ini sebagai suri di hatinya.  Dan tentu saja, perasaan pasangan ini sekarang, lebih gembira bercampur teruja kerana menghitung hari bakal diijabkabulkan dalam tempoh tujuh bulan dari sekarang. 

Mereka bertunang pada 4 Syawal tahun ini di Perth, Australia dan bakal disatukan pada Februari tahun depan. 

Tetapi di sebalik kemanisan itu, timbul kegusaran di dalam hati pasangan ini jika ada pihak yang masih membangkitkan mengenai kisah percintaan silam masing-masing. Seperti yang diketahui umum, Zahirah pernah menjalin cinta mesra dengan pelakon Zul Ariffin selama hampir dua tahun. Aiman pula putus dengan Fathia Latiff selepas empat tahun bercinta dan digelar pasangan merpati dua sejoli pada ketika itu. 

 Pun bagi kedua-duanya,  pengalaman cinta lalu adalah sejarah yang tidak perlu lagi dikenang. 

“Saya sudah tidak kisah apa yang orang hendak cakap tentang kisah percintaan kami di masa lalu. Itu cerita lama, tak perlu dikenang lagi.  Terpulanglah, sebab apa yang penting sekarang adalah masa depan kami,” ujar Zahirah kepada Pancaindera ketika ditemui baru-baru ini.

Kenyataan tersebut turut disokong Aiman, 30, yang menegaskan dia sudah lama move on daripada cinta masa lalu.  Fokus utamanya sekarang adalah membina kebahagiaan abadi bersama Zahirah, wanita paling dicintai ketika ini. 

“Biarlah kalau orang masih tidak mahu melupakan percintaan silam kami. Itu bermakna mereka masih ‘hidup’ dalam dunia kami yang lalu.  Perkara itu sikit pun tidak merosakkan ikatan cinta saya dan Ira,” tutur Aiman.
 

YAKIN masingmasing saling melengkapi, Aiman dan Zahirah menunggu detik bahagia bergelar suami dan i
YAKIN masingmasing saling melengkapi, Aiman dan Zahirah menunggu detik bahagia bergelar suami dan isteri.

Bukan cinta lokasi

Menolak dakwaan mengatakan mereka adalah pasangan cinta lokasi, dedah Aiman, dia sebenarnya sudah bercinta dengan Zahirah sebelum masuk ke set Curi-Curi Cinta. 
Kematangan dan sisi istimewa yang ada dalam diri wanita berusia 24 tahun itu membuatkan dia yakin, ini jodoh yang terbaik untuknya. Lantas, dia memberanikan diri melamar anak kepada pelakon, Zainol MacWilson ini selepas kali ketiga mereka keluar bersama. 
“Sejak kami kenal lebih rapat, semuanya jadi pantas dan macam ‘roller-coaster’. Walaupun ada turun naik, dugaan dan cabaran tetapi kami anggap semua itu positif. 
“Malah segala perbincangan menjadi sangat laju. Kali pertama keluar berdua, kami berbual panjang tentang banyak perkara. Belum pernah saya jumpa wanita yang matang sepertinya.
“Kali kedua, kami sudah bercerita tentang masa depan. Pada pertemuan kali ketiga, saya terus ajak dia kahwin,” cerita Aiman.
Sepanjang bercinta Aiman mengakui, Zahirah memang berbeza dengan perempuan-perempuan lain yang pernah dikenalinya sebagai kawan atau kekasih.
“Selain matang dia gadis  yang bijak. Semakin hari kenal dekat dengannya, saya kagum dengan sifat dan aura yang ada pada Zahirah. Banyak benda tentang dirinya yang menarik,” cerita Aiman mengenai bakal isterinya itu.
Sementara Zahirah di sebelah, dalam manja mencelah. “Aiman pun apa kurangnya. Dia bukan saja memiliki ciri-ciri lelaki idaman saya, tetapi memiliki sifat-sifat lelaki yang menarik,” katanya yang memang selalu berharap untuk memilik pasangan yang lebih tinggi daripadanya. 
Berkongsi pula mengenai persiapan hari bahagia mereka, Aiman berkata, tidak terlintas di fikiran untuk majlis mereka mendapat gelaran Wedding of the Year. 
Sebaliknya mereka mengimpikan suasana majlis yang penuh bermakna dan meraikannya bersama keluarga, saudara mara serta sahabat handai. 
“Kami impikan sebuah majlis perkahwinan bermakna dan yang penting, berkat.Saya tidak mahu baik Ira ataupun keluarga kami tertekan sepanjang membuat persiapan untuk majlis ini nanti,” katanya yang turut bersyukur kerana mendapat restu daripada kedua belah keluarga.


Siapa curi hati siapa?

Aiman

Aiman mendedahkan dia sebenarnya sudah mengenali Zahirah sejak tiga tahun lepas tetapi mereka mula berbalas mesej dan rapat pada November tahun lalu.

Seminggu pertama selepas mereka ‘dating’, Aiman masih tidak percaya wanita yang kerap menghantar mesej kepadanya adalah Zahirah MacWilson.

Selain matang dan bijak, Aiman terpikat dengan Zahirah kerana setiap hari ada saja sikap wanita itu yang membuatkan dia kagum dan menjadi inspirasi pada dirinya.

Zahirah
Bagi Zahirah pula, pemuda tinggi lampai ini mebuat melihat banyak perkara dari perspektif yang berbeza. 

Zahirah mengaku, dia menghantar mesej kepada Aiman bertujuan mahu mengajak lelaki itu berlakon bersama dalam Curi-Curi Cinta.  

Pasangan ini mengaku berkongsi misi dan visi yang sama bukan hanya dalam dunia lakonan tetapi dalam bidang perniagaan yang mereka sedang  usahakan.

 


Trivia

2018
November:
Gosip mula bertebaran mengatakan Aiman dan Zahirah menjalin hubungan istimewa.
2 & 3 Disember: Pasangan ini pertama kali memuat naik foto berdua dalam Instagram masing-masing, seolah-olah mengesahkan benar mereka sedang dilamun cinta.

2019
1 Januari :
Sekali lagi pasangan ini memuat naik sekeping foto yang sama, sebagai gambaran manisnya permulaan perjalanan tahun ini.
5 Jun: Mereka sama-sama meraikan 1 Syawal di kediaman ibu Zahirah, di Perth Western Australia.
8 Jun:  Bersamaan 4 Syawal, pasangan ini mengikat tali pertunangan dalam satu majlis yang berlangsung di rumah ibu Zahirah.
31 Julai : Pasangan ini mengumumkan bakal melangsungkan perkahwinan pada Februari tahun depan sempena bulan kelahiran Zahirah (pada 1 Februari).