Bagi Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin kesempatan rezeki yang diberikan Tuhan untuk berbadan dua akhirnya dimakbulkan jua selepas mendirikan rumah tangga selama 11 tahun dengan Datuk Khalid Mohd. Jiwa, dan kini usia kandungannya sudah masuk enam bulan.

Menjadi kelaziman bagi bakal ibu yang teruja untuk melayari fasa tersebut begitu jugalah penyanyi lagu Segala Perasaan ini yang turut berkongsi sebuah video imbasan kandungan (ultrasound) di Instagram.

Bagaimana pun, video terbabit yang turut terdengar perbualan doktor seakan memberi gambaran bayi dalam kandungannya itu ialah perempuan telah dipadamkan pada hari sama klip berdurasi 30 saat itu dimuat naik iaitu pada 26 November lalu.

Jelas Siti Nurhaliza, dia tidak mahu mencetuskan sebarang tanda tanya dalam kalangan peminat tentang soal jantina yang sedang di kandungkan.

Malah, tindakannya yang memadam semula video tersebut sama sekali tidak memberi erti melainkan hanya sekadar mahu berkongsi keterujaan.

“Bila kita sedang hamil pasti akan rasa keseronokan dan teruja. Bayi lelaki atau perempuan, nanti kita akan tahu juga.

“Saya bukanlah terlalu nak berahsia sangat, cuma tunggu waktu sesuai.

“Lebih-lebih lagi suami tidak berapa gemar saya berkongsi apa-apa mengenai kandungan sebab masih dalam perut kan. Biar betul cukup sifat semuanya baharu boleh kita kongsikan. Ini kata suami sayalah,” katanya kepada Utusan Online. - UTUSAN ONLINE