Biarpun mendapat sambutan baik daripada peminat, sayangnya timbul beberapa masalah yang akhirnya mengakibatkan Nubhan akur menerima kegagalan lagu tersebut.

Nubhan bagaimanapun tidak berputus asa, malah bangkit semula menjenamakan dirinya menerusi sebuah karya berbeza yang tidak pernah dinyanyikannya sebelum ini.

 

Bahkan, anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu disifatkan berani mengambil risiko dengan mencetuskan gimik apabila video muzik lagu berjudul Tak Tahan dilihat menampilkan sekumpulan lelaki separuh bogel.

“Sejujurnya, saya bukan sengaja cari fasal dengan mengundang sekumpulan jejaka yang tidak berbaju bagi menghiasi video muzik ini.

“Akan tetapi, polemik yang diwujudkan dalam klip video lagu ciptaan Ressa Herlambang ini diakui sebagai satu strategi pemasaran,” ujar Nubhan memberi penjelasan sebenar.

Menjelaskan lebih lanjut, dia turut mencabar kemampuan dirinya apabila bersetuju membuat kelainan dengan menyanyikan sebuah lagu bergenre pop fusion.

“Alang-alang mahu menjenamakan semula diri saya, jadi saya perlukan sesuatu yang berbeza.

“Sebab itu saya tekad menyanyikan lagu sebegini biarpun selama ini ia sangat asing bagi saya.

“Selepas merencanakan perancangan bersama-sama pihak pengurusan, Alhamdulillah segalanya berjalan lancar sehinggalah direalisasikan pada hari ini,” katanya ketika ditemui sejurus majlis pelancaran single dan video muzik Tak Tahan.

Mengulas pembabitan jejaka-jejaka tidak berbaju yang menjadi bualan hangat, Nubhan meminta agar penonton menilainya dari sudut positif.

“Lelaki-lelaki itu tidak berbaju kerana mereka bersilat dan bukannya ingin mengeksploitasi tubuh mereka.

“Lagu ini bergenre pop fusion yang memuatkan elemen tradisi. Justeru, saya selitkan seni silat selain tarian Melayu asli,” tambahnya.