Memilih seseorang dengan personaliti yang baik berbanding paras rupa yang menawan, Aedy mahu teman wanitanya itu mampu melayan keluarga, rakan dan peminatnya seikhlas mungkin.

“Nak cari calon isteri bukan mudah, tak semestinya perlu cantik paras rupa tetapi personaliti juga harus cantik.

Aedy Ashraf

“Untuk saya, wanita itu perlu mempunyai personaliti yang bagus. Rupa saya letak nombor dua, ketinggian pula pada tangga ketiga.

“Kecantikan tidak akan kekal selamanya, namun sekiranya wanita itu ada kecantikan dalaman, ia pasti akan dapat membahagiakan diri saya selamanya,” luah Aedy.

Baru berusia 26 tahun, ia angka yang terbaik untuk pelakon drama bersiri Cinta Tiada Ganti ini mencari kebahagiaan rumah tangga, namun niat itu terpaksa ditangguhkan dahulu bagi mencapai cita-citanya dalam bidang perniagaan.

Giat mengusahakan gerai snek kentang goreng di The Podium, Sungai Penchala, Kuala Lumpur, Aedy juga mempunyai empat lagi gerai yang sama iaitu di Wangsa Maju, Nilai, Shah Alam dan Cyberjaya.

“Saya mahu menumpukan perhatian pada perniagaan snek kentang goreng ini terlebih dahulu dan menghentikan seketika aktiviti dan hobi lain.

“Apabila membabitkan diri dalam perniagaan, saya tahu ada banyak rintangan yang perlu ditempuh dan dipelajari kerana ini bukan bidang utama saya sebelum ini.

“Namun, ia bukan sesuatu yang perlu dibimbangkan kerana saya perlu berusaha keras dan memastikan segala yang dibuat mengikut prosedur serta membuat pemasaran dengan sebaik mungkin,” jelas Aedy.

Aedy yang aktif dalam lakonan semenjak usianya 10 tahun juga terpaksa melupakan bidang ini terlebih dahulu kerana kesibukannya dalam berniaga.

“Buat masa ini saya berehat seketika dalam lakonan, saya perlu tumpukan perhatian dalam perniagaan terlebih dahulu.

“Bukan nak berehat terus, hanya sementara kerana ini masanya saya menumpukan perhatian kepada perkara lain buat sementara waktu.

“Namun jika ada tawaran yang bagus, saya akan pertimbangkannya,” kata Aedy menutup bicara.