Namun adakalanya sesetengah artis kita terlalu mengambil mudah dalam menjalankan perniagaan sehingga kemudiannya memperlihatkan perniagaan mereka lekas terkubur.

Pengamatan ini dilontarkan oleh selebriti dan pelakon senior Didie Alias yang sering bekerjasama dengan rakan industri menerusi sebarang penganjuran festival jualan berskala besar dalam negara.

Selama tujuh tahun berke­cimpung dalam bidang keusaha­wanan bersama golongan selebriti, Didie melihat cuma 60 peratus kalangan artis tempatan benar-benar serius dalam menguruskan perniagaan produk sendiri.

DIDIE ALIAS
DIDIE ALIAS 

“Ramai yang nak berniaga tapi sekadar hangat-hangat tahi ayam. Rasanya, 40 peratus dalam kalangan artis yang berniaga saya lihat sekadar mengisi masa lapang.

“Maknanya, bila tak ada tawaran berlakon atau menyanyi atau tak ada undangan persembahan dan sebagainya barulah mereka nak berniaga.

“Dari satu sudut memang bagus kerana itu mampu menjana pendapatan sampingan. Tetapi, kelompok seperti inilah yang biasanya akan ‘bungkus’ cepat sebab tiada fokus,” katanya.

Mengaku suka melihat rakan-rakan artis miliki inisiatif untuk menjana pendapatan menerusi perniagaan, Didie tidak menolak segelintir mereka sebenarnya tidak mempunyai jiwa seorang usahawan.

“Bertahun-tahun saya urus dan kendalikan artis untuk acara festival atau bazar. Berdasarkan pengalaman, saya lihat ada yang buat bidang perniagaan ini sekadar hobi.

“Rugi sebenarnya. Kalau mereka serius bukan sahaja boleh buat duit tetapi juga membina nama dalam industri. Saya juga tekankan pada rakan artis agar kualiti produk dipandang serius kerana pengguna sekarang semakin bijak,” katanya.

Dalam pada itu, berkongsi mengenai pengalamannya mengendalikan usahawan selebriti tempatan, Didie juga akui adakala terpaksa ‘menelan’ sahaja kerenah sesetengah teman artis.

Katanya, sebagai wakil penganjur, dia perlu bekerja secara profesional meski ada antara artis membuat permintaan bersifat di luar jangkaan.

“Lumrah dan saya sudah biasa dengan situasi seperti ini. Bohong kalau saya katakan tak ada yang berangan diva atau terasa diri seperti artis nombor satu atau kuat merungut.

“Sebagai wakil penganjur, saya kena bijak mengendalikan situasi. Malah, saya juga memberi nasihat dan pandangan yang baik kerana faham tak semua artis kita tahu selok-belok bidang perniagaan,” katanya.

Himpun 40 artis 

Berbicara mengenai bidang keusahawanan, Didie juga berkongsi keterujaan untuk bersama-sama dengan rakan industri untuk menjayakan Bazaar Raya Kuala Lumpur (BRKL) 2019 bermula hari ini sehingga 4 Jun depan.

Menurut Didie, BRKL bakal menghimpunkan seramai 30 artis popular tanah air yang aktif dalam bidang perniagaan untuk bertemu dengan pengunjung.

Diadakan di Dewan Tun Razak 1 , Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), bazar anjuran Agenda Sepadu Sdn. Bhd. ini akan dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof.

BRKL juga mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan Malaysia yang akan mempromosikan tempat menarik untuk dilawati sempena Ramadan ini.

Antara artis yang terlibat ialah bintang drama popular Nur, Amyra Rosly, Syafiq Kyle, Datuk Hattan, Datuk Aznil Nawawi, Alyah, Siti Sarah, Zara Zya, Aiman Tino, Haiza dan ramai lagi.

“Menariknya, bazar ini akan diadakan selama 15 hari berturut-turut untuk pengunjung dan hari terakhir akan menyaksikan enam pengacara beraksi dan berceloteh selama 24 jam di BRKL.

“Pengacara yang terlibat ialah Amyza Adnan, Roslan Shah, Enot, Achey, Arja Lee termasuk saya sendiri.

Nak tahu kami mampu tak berceloteh sepanjang tempoh itu, kenalah datang nanti,” tambahnya.

BRKL yang bermula pada pukul 10 pagi hingga 12 malam juga akan menyelitkan banyak program termasuk turut menyediakan pelbagai hadiah menarik untuk pengunjung.