Bagi pelakon Zarina Zainuddin, 49, pengorbanan yang dilakukan harus diiringi dengan keikhlasan dan rasa tanggungjawab.

“Erti Aidiladha bukan sekadar melakukan ibadah korban, tetapi lebih daripada itu. Untuk saya, ia pengorbanan dalam menjalankan tanggungjawab lebih daripada sepatutnya.

“Ini termasuk sanggup melakukan apa sahaja demi yang tersayang,” luah Zarina yang menjadi inspirasi ramai dalam menjaga anak kembar autisme.

Katanya, Allah mengurniakannya dua anak kembar istimewa iaitu Muhammad Razil Azrai dan Muhammad Raizal Azrai, 23, dan dia melakukannya dengan penuh rasa tanggungjawab serta sanggup berkorban apa sahaja demi mereka.

“Ramai yang bertanya apa cara mahu jadi ibu yang tabah. Apa yang saya boleh cakap, anggap mereka sebagai amanah Allah dan jangan sesekali mengharapkan balasan atas apa yang kita lakukan. Apabila kita asyik harapkan balasan, maka kita akan kecewa.

PASANGAN kembar autisme, Azal dan Azil kerap menemani Zarina Zainuddin ke lokasi penggambaran.
PASANGAN kembar autisme, Azal dan Azil kerap menemani Zarina Zainuddin ke lokasi penggambaran.

“Seorang ibu tak boleh mengungkit kerana sudah membesarkan anak dari kecil sampai dewasa kerana itu adalah tanggungjawab mereka. Anak adalah amanah dan tanggungjawab, jadi pengorbanan ibu akan diberi ganjaran pahala.

“Jadi, jangan ada istilah mengungkit seperti meminta itu dan ini. Seorang ibu perlu sentiasa doakan kesejahteraan anak walaupun pengorbanan tidak dibalas. Mereka mahu kenang atau tidak, terpulanglah.

“Kalau kita mendidik mereka dengan adab yang baik, insya-Allah mereka akan kenang pengorbanan kita. Jadi tunjukkanlah contoh yang baik sejak mereka kecil agar kita dihargai suatu hari nanti,” luah Zarina.

Malah kata Zarina, dia tidak kisah jika dianggap gemarkan publisiti apabila sering berkongsi video gelagatnya bersama anak kembar autisme tersebut.

“Saya tak pernah hairan apa orang nak cakap. Kalau mereka kata saya gilakan publisiti, saya sudah lama menikmatinya semasa zaman anak dara lagi. Sekarangpun saya masih aktif berlakon. Jadi saya tidak kisah soal publisiti.

“Tujuan saya berkongsi video tentang dua anak istimewa ini untuk memberitahu umum cara menjaga anak-anak autisme. Setiap anak ada kerenah tersendiri dan berbeza dengan anak-anak lain.

“Misalnya, saya sendiri ajar mereka solat. Jadi mereka yang positif akan melihat bahawa anak autisme juga boleh solat dan menjadi pemimpin suatu hari nanti kepada keluarganya,” jelasnya yang juga mempunyai dua lagi anak iaitu Muhammad Naim Azrai, 16, dan Muhammad Adam Azrai, 13.

Bagi Zarina, erti pengorbanan juga ialah toleransi dalam hidup berumah tangga bersama suami dan madunya agar wujud kebahagiaan dalam perkahwinan.

“Tiada wanita yang mahu berkongsi suami. Sebagai isteri kedua, saya tahu kedudukan saya. Memang dari dulu lagi saya sangat menghormati hak madu sebagai isteri pertama suami.

“Apa yang seronoknya , saya dan madu tinggal berjiran dan kami saling membantu misalnya dalam berniaga pulut kuning. Kalau saya sibuk dengan penggambaran, madu tolong tengok-tengokan anak,” katanya yang telah membuka kilang sendiri di Shah Alam.

Kata pelakon ini, sifat keikhlasan dalam pengorbanan perlu ada kerana ia menjanjikan kebahagiaan dan menjauhi sengketa.

Justeru, dia dan madunya sama-aama berganding bahu mencari rezeki dan ia satu pengorbanan yang tiada tolok bandingnya demi kebahagiaan mereka sekeluarga.