Meskipun kini jadualnya semakin padat, namun penyanyi lagu Jangan Jangan itu tetap memanjatkan kesyukuran kerana masih menerima tawaran nyanyian walaupun masanya kini terhad di kampus.

 

Berpegang kepada prinsip bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian, Wani atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah, 19, semakin mendapat rentak selesa untuk memegang dua peranan itu.

“Saya nak kerjaya nyanyian dan pelajaran bergerak seiring. Impian saya hendak bergelar anak seni yang berilmu pengetahuan. Tak hanya memiliki bakat dalam seni suara, malah dari sudut lain ada sisi yang orang lain perlu tahu tentang seorang artis.

“Sudah lima bulan saya bergelar pelajar dan Alhamdulillah setakat ini tiada tekanan dan saya seronok berjumpa dengan rakan sekuliah.

“Jurusan yang saya ambil itu memerlukan masa setahun untuk diselesaikan,” katanya yang akan kembali ke kampus bagi menyambung pengajian bagi semester ketiga tidak lama lagi.

 

Bergelut dengan status sebagai mahasiswa tidak membuatkan Wani terus melupakan dunia nyanyian.

Justeru, dia kini dalam perancangan menyiapkan lagu terbaharu bergenre pop yang diselitkan dengan elemen dangdut koplo.

“Komposer Aliff Sleeq dan Ikhwan Fatana antara yang saya pilih untuk single terbaharu nanti.

“Tetapi di antara mereka berdua, saya kena memilih seorang sahaja dan insya-Allah harap pilihan saya itu menepati cita rasa pendengar.

“Saya mahukan sesuatu yang lain untuk buah tangan terbaharu ini. Elemen dangdut koplo ada suntikan muzik tradisi Indonesia yang mana belum pernah artis kita bawakan lagi di sini,” jelasnya.