Pun begitu, profesionalisme sebagai seorang anak seni kekal jitu dalam diri Juliana Evans sementelah dalam keadaan sarat mengandung kini pun, dia tetap mencuba memberi kerjasama baik dengan teman media.

JULIANA EVANS

Begitulah seadanya wanita yang mesra disapa sebagai Jue ini. Komitmennya pada kerjaya kadangkala mencetuskan persoalan, dari manakah datangnya kekuatan dan semangat seperti itu?

Mengaku tidak pandai duduk diam, siapa sangka Jue yang kini hamil lapan bulan, masih kuat bekerja seperti biasa.

“Sudah terbiasa begini. Sepanjang hamil memang saya kuat bekerja sehingga dapat merasakan bahawa anak ini suatu hari nanti akan menjadi seorang individu yang kuat bekerja.

“Bayangkan, selain berlakon, fokus saya juga adalah pada dua bisnes yang sedang diusahakan sekarang.

“Malah, sewaktu awal-awal mengandung pun saya masih sibuk berlakon untuk drama 20 episod,” katanya bercerita.

Tiada istilah mahu memperlahankan kerjaya seni, bagi Jue kehamilan bukanlah penghalang untuk dirinya melakukan sebarang aktiviti atau kerja.

“Entahlah, mungkin sesetengah wanita dan bakal ibu melalui proses yang berbeza-beza ketika hamil. Alhamdulillah, saya diberikan kesihatan yang baik sepanjang mengandung.

“Semasa kandungan usia empat bulan pun saya ke luar negara berseorangan untuk tujuan kerja. Rasanya selepas habis pantang dan menjaga anak, saya akan kembali segera fokus pada kerjaya,” katanya.

Detik indah

Ditanya mengenai perasaannya kini saat menghitung hari bergelar seorang ibu, Jue mengakui segalanya bagaikan bercampur baur antara teruja, takut dan ingin tahu.

Katanya, semakin dekat tarikh jangkaan bersalin, semakin kuat dia berteka-teki tentang bagaimanakah rupa anak yang bakal dilahirkan itu nanti.

“Tertanya-tanya, macam manalah agaknya dia keluar nanti? Mata, hidung, mulutnya ikut siapa? Iyalah, pertama kali bergelar ibu tentunya saya rasa tak sabar menyambut kelahiran bayi sulung ini,” katanya.

Mendakap erat setiap detik kehamilan pertamanya ini, dia bersyukur kerana tidak mengalami sebarang simptom pelik sebagaimana mungkin segelintir para ibu di luar sana.

“Cuma saya akan rasa mual setiap kali perut kosong. Itu pun normal lah bukan? Tapi selepas bersalin nanti, rasanya ada satu detik yang paling akan saya rindukan.

“Saya pasti rindu tendangan dan pergerakan bayi dalam perut. Bagi saya, ia adalah antara detik kehamilan yang paling indah,” katanya.