Namun tahun ini, dia tidak dapat berbuat demikian memandangkan ada beberapa tuntutan tugas terpaksa dilakukan selain perlu menghabiskan penggambaran drama yang disertai.

“Selalunya setiap kali Ramadan saya tidak mengambil sebarang tawaran lakonan. Tetapi tahun ini, saya terpaksa menjalani penggambaran telefilem untuk tayangan selepas raya nanti.

“Memang agak sedih dan risau memikirkan bagaimana anak-anak saya. Iyalah, selalunya kami sudah biasa berbuka dan bersahur bersama,” katanya.

Tambahnya Airit Rayyan Rizqin, 10, dan Airit Qaqa Arjuna, 8, antara yang paling gembira setiap kali tibanya Ramadan memandangkan mereka sudah terbiasa melakukan banyak aktiviti bersama.

Namun suasana kali ini sedikit berbeza apabila kedua-dua permata hatinya itu hanya akan ditemani guru dan pembantu yang sanggup menjaga mereka selain menyediakan keperluan berbuka.

Tambah Rita Rudaini, sepanjang Ramadan dia lebih rajin ‘masuk dapur’ berbanding rutin harian dalam bulan lain. Dia juga akan bangun awal pagi untuk memasak juadah sahur.

“Mereka tidak cerewet, janji ada lauk kari ayam atau telur goreng itu pun sudah membuka selera mereka ketika berbuka atau bersahur.

“Saya pula, mesti kena ada nasi dan sambal ikan bilis. Saya jarang membeli sebab lebih suka memasak dan berbuka di rumah,” kata pelakon drama 4 Penjuru ini.

DIDIK ANAK-ANAK

DALAM pada itu, Rita juga meluahkan rasa gembira kerana Rayyan dan Arjuna sudah mula berpuasa penuh tanpa paksaan. Menariknya mereka jugalah yang paling teruja untuk bersahur bersama-sama.

Melihatkan semangat anak-anaknya itu, dia membawa mereka mengerjakan solat tarawih di masjid bermula tahun ini. Namun semua itu memerlukan bantuan daripada kenalan lain yang boleh memerhatikan mereka sepanjang waktu solat.

“Rayyan sudah mula belajar berpuasa sejak usia lima tahun dan Arjuna pula sejak usia enam tahun. Mereka sendiri yang bersungguh-sungguh hendak berpuasa tanpa dipaksa.

“Tahun ini saya sebenarnya merancang untuk bawa anak-anak pergi tarawih. Tetapi belum pasti lagi sama ada jadi atau tidak. Sebab timbul juga kerisauan kerana nanti siapa pula yang hendak perhatikan mereka di ruang solat lelaki.

“Tapi kalau ada jiran atau kenalan yang saya boleh minta bantuan, memang saya nak teruskan niat ini.

“Lagipun kalau di kampung, mereka pergi tarawih bersama sepupu-sepupu mereka. Tak risau sebab ada orang yang tengok-tengokkan,” tuturnya.

Memandangkan sibuk dengan penggambaran, Rita sudah pun membuat persiapan awal termasuklah membeli kelengkapan raya kedua-dua anaknya sebelum Ramadan lagi.

Tahun ini, dia bersama-sama dengan Khai Bahar, Fendy Bakri dan Haji Zeel (Penerbit Zeel Production Sdn. Bhd.) akan mengadakan acara rumah terbuka pada hari raya ketiga.

“Dua tahun lalu kami pernah adakan rumah terbuka dan sambutannya sangat baik. Jadi tahun ini kami rancang adakan lagi pada hari raya ketiga buat semua peminat di Perlis namun lokasinya akan diberitahu nanti,” katanya.