Kata pemuda dari Kuala Kubu Bharu ini, perjalanannya dalam dunia hiburan masih jauh. Walaupun sudah menjadi kegilaan ramai, semua ini belum cukup.

“Mahu lebih kuat bekerja. Diam tak diam sudah dua tahun jadi penyanyi. Dalam kesibukan mengadakan persembahan pentas, saya sempat menjayakan drama Penunggu Simpang di TV3.

 

“Saya tak mahu itu yang pertama dan terakhir kerana dengan adanya tawaran sebagai pelakon, saya nak terus mencuba.

“Insya-Allah nak memperbaiki kelemahan dan kekurangan depan kamera. Selain itu mahu mendalami ilmu muzik kerana saya juga mahu menjadi komposer.

“Saya nak pergi lebih jauh dalam dunia hiburan. Dalam sibuk bekerja, saya juga ada masa untuk berkawan. Saya ramai kenalan lelaki dan perempuan. Antara kawan perempuan yang baik sesama artis ialah Ara Johari.

“Tapi antara saya dengan rakan-rakan perempuan tak bermain dengan hati dan perasaan, masih awal untuk ke fasa bercinta,” ujar Aiman yang bakal muncul dengan lagu baharu dan album solo tidak lama lagi.

“Single terbaharu saya berjudul Benci. Mesti ada bertanya, mengapa Benci? Bukankah sudah ada lagu popular sebelum ini berjudul Rela Dibenci? Saya tak ada masalah soal ini.

“Lagipun saya mula terkenal dengan lagu yang ada judul benci, tak salah ada lagi lagu judul itu asalkan melodi dan seni katanya tak sama,” ujarnya.

Aiman kini tinggal bersendirian di Shah Alam sejak empat bulan lalu. ‘Lampu hijau’ yang diberi oleh kedua-dua orang tuanya untuk menjadi anak rantau tidak diambil mudah.

“Memandangkan, keluarga sibuk dengan perniagaan dan rasa lebih menjimatkan masa kalau tinggal di Shah Alam berbanding Kuala Kubu Bharu, saya jadi ‘perantau’.

“Bila bosan duduk rumah sewa dengan rakan-rakan, saya memandu balik ke Kuala Kubu Bharu.

“Maklumlah, sudah lama duduk dengan keluarga, bila berasingan, adakala rasa rindu suasana hingar bingar di rumah dengan keletah adik-beradik,” kata Aiman yang mempunyai 10 beradik.

Dalam pada itu, Aiman bersama As’ad Motawh , Dee dan Sufian Suhaimi merupakan antara empat orang artis lelaki yang akan terlibat dalam program Divalicious –Cruise Bersama Selebriti pada 18 Disember ini selama tiga hari dua malam.

“Ini program bertemu dengan peminat. Jadi sesiapa yang nak tempah tempat bolehlah ikut program anjuran Golden Destinations ICE Holidays.

“Saya alu-alukan peminat-peminat saya dan artis terlibat ikut serta. Ada pelbagai acara akan diadakan. Mana tahu kalau-kalau saya lancar album atas kapal ini.

“Kita akan sama-sama menaiki kapal mewah 19 tingkat ini belayar dari Singapura ke Melaka kemudian balik ke Singapura. Harga tempahan awal RM1,188. Mahu tahu lebih lanjut boleh layari www.goldendestinations.com,” pesan Aiman.

Bagi yang hendak merasai pelayaran bersama-sama Aiman dan rakan-rakan artis lain, jom ke Singapura naik kapal dari sana akhir tahun ini.