Mengaku mempunyai hobi yang agak pelik, Izubiela tidak kisah dengan pandangan orang lain selagi caranya itu disukai suami.

“Sejujurnya orang sekeliling dan masyarakat yang menggelarkan saya sebagai Barbie atau Barbie Doll versi Malaysia. Gelaran ini ‘melekat’ pada saya disebabkan bentuk tubuh, gaya, cara berpakaian dan mekap, perwatakan lembut serta warna rambut ala patung Barbie.

IZUBIELA RAZI
IZUBIELA RAZI

“Itu satu kebetulan kerana saya memang suka berfesyen dan mencuba pelbagai jenis pakaian walaupun tidak sesuai di mata orang lain.

“Untuk itu saya sanggup berhabis wang sebanyak mungkin untuk sentiasa kelihatan cantik seperti patung Barbie dari hujung rambut sampai ke kaki.

“Kalau ada acara, saya akan hadir dengan pakaian yang ditempah khas dan tidak akan mengulanginya di majlis lain.

“Apa yang penting saya nampak cantik seperti patung Barbie yang hidup,” kata Izubiela yang memang bermekap setiap hari walaupun sekadar berada di rumah.

Izubiela tetap mahu kelihatan seperti patung Barbie meskipun sedang membuat kerja rumah seperti memasak, menyidai kain, membersih halaman rumah dan menonton televisyen. Malah suaminya pun gembira melihat Izubiela sentiasa bermekap.

“Betapa obsesnya saya terhadap kecantikan, kadang-kadang saya pernah meminta jurumekap datang ke rumah untuk mekapkan saya walaupun tidak ada apa-apa acara dan hanya duduk di rumah.

“Setiap hari saya mengambil masa selama empat jam untuk bersiap agar kelihatan seperti patung Barbie. Pendek kata saya mahu kelihatan cantik setiap masa walaupun ketika tidur

“Ramai yang tanya tidak penatkah? Saya tidak rasa penat langsung kerana itu memang hobi. Kadang-kadang suami yang kasihan melihat saya bermekap, tetapi dia tidak menghalang. Dia pun suka tengok saya cantik selalu,” kata Izubiela jujur.

Sebelum ini nama Izubiela menjadi tular satu Malaysia apabila kecoh isu patung Barbie masuk pasar.

IZUBIELA RAZI

“Saya memang menjalankan tanggungjawab sebagai isteri seperti biasa termasuk ke pasar untuk memasak makanan kegemaran suami. Memandangkan saya sentiasa kelihatan seperti patung Barbie, ramai orang di pasar terkejut dengan penampilan saya,” kata Izubiela.

Namun, dia menafikan ada melakukan pembedahan seluruh tubuh apatah lagi mengenakan susuk.

Kata wanita ini, obsesinya terhadap patung Barbie memang luar biasa, tetapi dia masih tahu batas agama.

“Semenjak nama saya tular, memang ramai yang menjadikan saya sebagai inspirasi untuk cantik. Saya sentiasa berkongsi apa yang bagus untuk mereka dalam Instagram. Selebihnya terpulanglah kepada usaha mereka.

“Dulu saya pun selalu lemah semangat kerana berasa diri tidak cantik. Justeru saya memilih produk yang sesuai serta tidak merosakkan diri.

“Kepada wanita di luar sana, kalau nak cantik memang kena rajin. Tak perlukan kos yang tinggi tetapi disiplin yang tinggi sangat diperlukan,” katanya.