Itu pesanan berharga Elvina Mohamad, 24, buat semua golongan wanita untuk mendepani ujian mendatang andai berlaku sebarang kemungkinan dalam hidup kelak.

Khususnya buat wanita berstatus isteri, golongan tersebut tidak boleh lemah sebaik sahaja perceraian berlaku. Jangan terlalu lama bersedih dan  meratapi nasib kerana keadaan sebegitu tidak mampu menyelesaikan masalah.

 

Sebaik-baiknya perlu memperkuatkan mental demi kelangsungan hidup. Bersiap sedia untuk melupakan semua zon selesa yang pernah dinikmati bersama si dia satu masa dulu. Tiba masanya untuk `move on’.

Setkan minda yang survival hidup kini hanya untuk keperluan diri dan anak semata-mata. Walaupun dahan bergantung sudah tiada, itu tidak bermakna seseorang wanita itu tidak boleh berdiri sendiri.

“Paling penting, setiap wanita perlu bekerja dan ada pendapatan sendiri. Sekurang-kurangnya ada simpanan sendiri dan anak-anak jika berlaku apa-apa nanti. Tidaklah kita mengharapkan ihsan sesiapa. 

 

“Rancang betul-betul perbelanjaan supaya tiada pembaziran berlaku. Kita dah tak boleh hidup senang-senang macam dulu apabila semuanya sudah berubah,” katanya berkongsi pandangan isu wanita yang tertindas selepas perceraian.

Pelakon drama Isteri Untuk Diiktiraf ini juga mengesyorkan agar semua wanita kembali fokus kepada minat mereka apabila sudah solo nanti. 

Cara itu sedikit sebanyak dapat mengusir perasaan negatif setiap kali terjebak dengan momen sepi.

Katanya, lakukan apa saja aktiviti yang pernah diminati satu masa dulu. Kaedah itu seperti terapi yang dapat mengubati hati dan memulihkan perasaan hiba. Kalau tak percaya, cubalah.

“Rata-rata golongan wanita mengalami kemurungan yang terus selepas bercerai. Dalam isu perceraian ini, paling kasihan adalah golongan wanita, macam teraniaya pun ada.

“Selepas hilang dahan berpaut, kehidupan menjadi kucar-kacir. Daripada melayan perasaan 
sakit itu, lebih baik ditukarkan
kepada sesuatu yang boleh mendatangkan keseronokan  untuk diri,” ujarnya.

Diuji

Jangan salah faham, pandangan tersebut bersifat umum buat semua wanita zaman moden ini.

Manalah tahu andai jodoh perkahwinan tidak panjang satu masa nanti. Yang jelas kata Elvina, dia juga pasti menggunakan pendekatan yang sama kelak.

 

Walaupun usia perkahwinan bersama suami, Datuk Mohd. Haniff Borhan, 33, masih baharu namun itu bukan pengukur kebahagiaannya. Waktu ini, dia masih dalam proses untuk mengenali lelaki berkenaan. 

“Sejak awal perkenalan hingga berkahwin, rumah tangga diuji dengan banyak perkara. Orang kata saya pilih suami kerana darjat dan harta. Selepas itu, suami dikatakan terlibat dalam kes penipuan pelaburan.

“Tidak lama kemudian, timbul isu orang ketiga dalam perkahwinan hingga ada orang yang mendoakan agar kami berpisah. Alhamdulillah, kesemua ujian itu dihadapi dengan baik,” ujarnya bersyukur.

Pasangan ini berkahwin pada 18 Mac 2018 selepas dua tahun berkawan rapat. Mereka mempunyai seorang anak lelaki, Karl Mateen yang lahir pada 1 Disember tahun yang sama.

Tetap bekerja

Dengan kehidupan serba-serbi sempurna, mewah dan suami yang mempunyai perniagaan sendiri, pelakon drama Jojie Gigil ini tetap mahu bekerja. Dia enggan duduk bersenang-lenang di rumah.

 

Cukuplah tempoh berehat yang sedang dinikmati lebih setahun lalu ini selepas melahirkan anak sulungnya. Elvina nekad untuk kembali menjalani kehidupan sebagai anak seni. Dia tidak sabar kembali ke set penggambaran seperti dulu.

“Saya sudah bersedia untuk kembali aktif berlakon. Suami dah beri ‘lampu hijau’, anak pun dah besar sikit. Kalau ada tawaran berlakon, saya sedia untuk mempertimbangkannya. Bila-bila masa saja.

“Tiada syarat yang dikenakan suami. Asalkan saya jaga nama baik keluarga, itu sudah memadai,” kata pelakon drama Cinta Si Wedding Planner ini lagi.

Penceraian bukan sasaran!

Fobia tak selepas terjebak dengan kes orang ketiga sebelum ini?
Sudah semestinya. Tapi saya melihat perkara itu dari sudut positif yang sebenarnya dalam apa jua ketika, kita perlu mempercayai pasangan berbanding orang luar. Hikmah daripada kejadian itu juga mengeratkan hubungan kami suami isteri. Tiada lagi rahsia selepas ini.

Ada tak dalam pemikiran itu pernah terfikir untuk bercerai sebagai jalan penyelesaian?
Ada juga. Tapi apabila difikir masak-masak sebenarnya perceraian bukan sasaran untuk penyelesaian masalah. Tak salah kalau bawa berbincang dulu, lainlah kalau langsung tak ada usaha ke arah itu. Saya pula lebih banyak memikirkan keadaan Karl jika perkara itu terjadi dalam rumah tangga kami. Saya tak nak dia menjadi mangsa perceraian ibu bapa. Kasihan dia.

Betul ke pasangan artis ini tak boleh tunjuk kebahagiaan dalam laman sosial. Nanti ada orang doa yang tidak baik? 
Susah nak cakap. Ada juga banyak benarnya sebab pernah berlaku depan mata. Tapi tak boleh mempercayainya juga. Bergantung kepada masing-masing. Bagi saya pula, bahagia tidak perlu ditunjuk. Simpan saja untuk diri sendiri.