Kegiatan ketua kumpulan iKon itu terbongkar selepas perbualan di antara dia dan seorang pengedar wanita menerusi aplikasi KakaoTalk didedahkan oleh Dispatch Korea, pada 12 Jun lalu.

Dalam perbualan tersebut, penyanyi berusia 22 tahun itu memberitahu wanita berkenaan dia selama ini dalam diam-diam menghisap ganja. Namun dia berhasrat mahu membeli LSD.

Pada masa sama, B.I bertanya mengenai kesan kekuatan LSD pada tubuh sekali gus cuba meminta diskaun harga. Dia berhasrat mahu membeli sekurang-kurangnya 10 biji pil.

Oleh sebab dadah tersebut dalam kategori mahal, jadi sebagai permulaan wanita tersebut mencadangkan agar dia membeli hanya enam biji dahulu dengan harga RM3,523.

Pada Ogos 2016, wanita itu ditahan polis di sebuah kediaman di Seoul atas dakwaan melakukan transaksi dadah secara haram. Polis turut merampas telefon pintar milik wanita itu.

Hasil siasatan, dia mengaku membekalkan sebanyak 10 biji pil kepada B.I dan menyerahkan kepada penyanyi itu di daerah Mapo, Seoul berhampiran dengan kediaman ahli iKon pada 3 Mei 2016.

Ketika itu, seorang lagi pengedar dadah lain yang dipercayai bekerja dengan wanita itu mendedahkan kepada polis senarai pembelinya termasuklah nama B.I atau nama sebenarnya Kim Han Bin.

KONSPIRASI

WALAUPUN sudah mendapat maklumat tersebut, pihak polis masih tidak menahan dan menjalankan siasatan ke atas artis yang bernaung di bawah agensi berpengaruh, YG Entertainment itu.

Apa yang lebih mencurigakan, wanita itu tiba-tiba menarik semula kenyataan dan mengaku tidak tahu menahu daripada mana B.I memperoleh dadah tersebut.

Timbul spekulasi YG Entertainment dikatakan telah mengupah seorang peguam dan meminta wanita itu menukar pengakuannya.

Sementara itu, YG menerusi satu kenyataan tegas mengatakan artisnya bersih daripada sebarang kegiatan penggunaan dadah.

“B.I tidak pernah terlibat dengan kes dadah seperti yang didakwa terhadapnya pada 2016. Setiap dua bulan, pihak pengurusan membeli alat ujian dadah daripada Amerika Syarikat dan ujian dijalankan terhadap artis.

“Semua anggota iKon turut menjalani ujian air kencing sebelum mereka sibuk dengan kegiatan promosi. Termasuk B.I, semua hasil ujian negatif,” jelas pihak pengurusan itu.

Tambahnya, wanita itu sengaja melibatkan nama B.I kerana berharap hukuman jenayah yang dilakukan akan menjadi ringan.

“Kami memanggil dia ke pejabat dan memintanya mengaku perkara yang benar. Disebabkan itu dia menukar kenyataan semasa siasatan kali ketiga,” katanya.