Tapi disebabkan Faizal Tahir sendiri yang tawarkan kepada saya, memang tak mungkin saya tolak dan sia-siakan,” demikian kata-kata penyanyi Sarah Suhairi yang teruja bekerjasama dengan komposer dan penyanyi terkenal itu.

Mengakui masih ‘hijau’ dalam industri muzik tempatan, namun juara program Big Stage musim pertama ini berasakan satu penghargaan tatkala dipilih untuk membawakan lagu Rise and Fall ciptaan Faizal.

Sarah Suhairi

Malah, dia cukup berbesar hati kerana Faizal sendiri memilihnya untuk menyerlahkan lagu tersebut mengikut acuannya.

“Ia umpama satu tanggungjawab besar yang perlu saya pikul. Namun saya tak anggap itu bebanan, malah sebagai motivasi serta semangat untuk mara ke depan.

“Saya tahu bukan senang nak dapat lagu daripada Faizal. Bila ada peluang mendengar lagu tersebut, saya dapati bait-bait liriknya amat dekat dengan diri saya yang mengisahkan tentang perjalanan hidup sebelum dan selepas bergelar penyanyi.

“Selepas perbincangan dengan pihak pengurusan dan ayah, mereka tidak menghalang malah memberi sokongan padu,” tuturnya ketika bertandang ke Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, baru-baru ini.

Single ketiga penyanyi berusia 19 tahun itu mula dilancarkan bulan lepas menerusi YouTube dan sehingga kini telah mengumpul lebih 300,000 tontonan.

Menggambarkan Faizal seorang penyanyi dan komposer yang hebat, Sarah turut mendapat pengalaman baharu apabila diberi peluang merasai sendiri membuat rakaman single Rise and Fall di studio rakaman milik Faizal.

“Selalunya buat bila nak rekod lagu baharu, rakaman akan dibuat di studio label, tapi sebab bekerjasama dengan Faizal, lebih selesa apabila kita selesaikan proses merakamkan lagu di tempat dia sendiri.

“Saya rasa sangat gembira dan harap ada lagi kolaborasi akan datang. Insya-Allah kalau ada rezeki pasti saya inginkan sekali lagi.

“Dia tidak garang dan seorang yang rileks sepanjang tiga sesi proses rakaman berlangsung. Dia juga memberi saya ruang kalau mahu diperbetulkan lagu berkenaan.

“Secara jujurnya saya memang berbangga kerana diberi kepercayaan oleh Faizal untuk menyanyikan lagu hasil ciptaannya,” katanya yang kini mempromosikan single tersebut sebelum memikirkan rancangan untuk menghasilkan album mini.