Khayal merupakan lirik kedua tulisan Stacy, selepas mencuri perhatian sebagai penulis lirik menerusi lagu hit Rampas yang dipopularkan kumpulan Akim & The Majistret.

Pertama kali menyampaikan sendiri karya ciptaan dan tulisannya, Stacy menyifatkan Khayal sebagai karya paling istimewa buat dirinya.

“Saya amat berterima kasih kepada suami iaitu Akim @ Hang Nadim kerana selalu memberi dorongan dalam menghasilkan sesebuah lagu, selain menjadi mentor untuk saya dalam berkarya.

"Akim sentiasa berkongsi ilmu supaya saya lebih faham tentang cara penghasilan sebuah lagu, sekaligus menggunakan pengalaman 11 tahun saya bagi menghasilkan lagu Khayal ini,” ujar Stacy.

Penyanyi yang mula mencipta nama sejak menjuarai program realiti Akademi Fantasia musim ke-6 pada tahun 2008 ini, turut menggunakan tanda pagar #SampaiKeBulan menerusi entri yang dimuat naik dalam laman media sosial.

“Dalam lirik Khayal ini, saya ada menulis tentang ‘biar cinta sampai ke bulan’.

"Sebenarnya, saya tulis khas bait lirik ini untuk menggambarkan betapa besarnya tanda cinta kepada keluarga kecil dan betapa utuhnya ikatan kami sekeluarga dalam apa jua keadaan,” jelas bintang berasal dari Sabah ini.

Khayal merupakan single pertama terbitan Stacy sendiri menerusi syarikat Rhythm & Rhyme Entertainment (RnR) miliknya dan suami dengan kerjasama Nova Music Malaysia sebagai rakan usahasama dan pengedar.

Khayal dilancarkan sepenuhnya di semua pelantar muzik digital seperti Spotify, Apple Music dan iTunes bermula 12 Julai lalu. - Utusan Online