Tampil dengan pelbagai idea tarian kreatif dan kostum yang menarik, nama Ahmad Kassan terus melonjak naik dan semakin dikenali.

Baru-baru ini, penulis berpeluang menjejaki penari dan koreografer itu di kediamannya di Kondominium Astaria, Taman Kosas, Ampang, Selangor.

Melangkah sahaja ke rumah Ahmad Kassan penulis bagaikan terpukau dengan keceriaan warna dinding rumah selebriti ini yang dihiasi dengan pelbagai warna termasuklah hijau, merah, jingga dan unggu.

Dihiasi mengikut kehendak anaknya, Achmal Azraf, 10, kediaman tersebut kelihatan menarik dan begitu menceriakan.

Jenama Ahmad Kassan tentunya telah dikenali khalayak sebagai penari dan koreografer. Bagaimanapun, di sebalik kerancakannya menari di pentas tarian, pasti tidak ramai yang mengetahui bahawa dia (Ahmad Kassan) sebenarnya lebih meminati bidang lakonan.

Memulakan kerjaya sebagai pelakon teater sekitar tahun 1983 di Singapura, kata Ahmad Kassan; “Saya mula berlakon teater sejak di bangku sekolah. Masa tu saya sering menerima gelaran sebagai pelakon terbaik dalam pertandingan teater antara sekolah-sekolah.

“Banyak yang saya lakonkan. Sudah lama, saya pun tak berapa ingat. Cuma yang saya ingat, saya pernah melakonkan sebuah teater bertajuk Pendekar Jambu Kuning yang mana Abby Fana (penyampai radio dan pengacara) turut sama berlakon dalam teater itu,” kata selebriti yang berasal dari Singapura itu.

Selain Pendekar Jambu Kuning, Ahmad Kassan juga pernah berlakon dalam teater Orang Licin dan juga Tirai Besi menerusi episod Cinta Jadi Buta yang ditayangkan di TV3 tidak lama dahulu.

Ditanya tidakkah dia merindui bidang lakonan, katanya; “Memang saya rindu sangat nak berlakon. Apatah lagi karier saya bermula dengan lakonan. Kadang-kadang tu bila rasa bosan dengan tarian, rasa macam nak berlakon semula.

“Orang tak tau yang saya boleh berlakon. Yang orang ramai tahu, Ahmad Kassan adalah seorang penari dan koreografer.

“Jadi, peluang untuk berlakon agak susah. Bagaimanapun, jika ada rezeki, saya akan teruskan juga minat dalam bidang lakonan,” katanya.

Bakat tarian dan koreograf Ahmad Kassan mula dikesan oleh Amirudin Abas yang ketika itu merupakan penerbit saluran SBC (saluran 5, Singapura) apabila memasuki Music And Drama Company (MDC) di Singapura.

“Sejak itu saya memulakan kerjaya sebagai penari dan diberi peluang untuk menjadi koreografer dalam banyak rancangan TV di Singapura,” katanya yang sangat meminati idea-idea kreatif tarian Allahyarham Bat Latif.

Pernah menubuhkan kumpulan tarian Vouge Dancers, Ahmad Kassan seringkali diberi amanah menjadi koreografer untuk rancangan Muzik-Muzik dan Juara Lagu di TV3.

Kekecewaan

Di sebalik kejayaan yang dikecapi kini, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa selebriti ini suatu ketika dahulu pernah mengalami kekecewaan dalam bidang tarian sekitar tahun 2000.

Menyingkap kembali kekecewaan itu, kata Ahmad Kassan; “Memang saya pernah kecewa dahulu. Masa tu saya memang dah berhenti buat persembahan tarian. Saya tak punya apa-apa masa tu. Kostum dan props pun tak ada jadi saya malas nak teruskan,” jelasnya.

Ketika diminta mengulas mengenai kekecewaan itu katanya ia berkaitan dengan masalah peribadi dan penceraiannya. Bagaimanapun, selebriti itu enggan mengulas lanjut tentang kisah lampaunya.

“Saya perlu jaga anak saya masa tu, tapi nasiblah saya ada kawan-kawan dari Dicky dan Mila Entertainment yang sudi menaja kostum dan props untuk saya guna dalam mana-mana persembahan tarian.

“Bermula dari situ, saya kumpul duit. Bila dah ada duit, sedikit demi sedikit saya mula kumpul semula kostum saya sendiri.

“Mujurlah tiga tahun lalu, Noraina Itam dari Astro telefon dan menawarkan saya untuk jadi koreografer dalam rancangan Macam-Macam Aznil. Bermula dari situ, karier seni saya hidup kembali,” jelasnya.

Selain Macam-Macam Aznil, Ahmad Kassan turut dipertanggungjawabkan menjadi koreografer untuk rancangan TV berkonsepkan tarian iaitu Sehati Berdansa yang melabuhkan tirainya 29 Disember lalu dan juga program Kwek Mambo Anita.

Kini, Ahmad Kassan diberi peluang sekali lagi untuk menjadi koreografer program Macam-Macam Aznil yang akan memulakan rakaman Februari ini.