Pelancaran rasmi itu diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Melaka dan menandakan titik permulaan pertandingan. Ia juga selari dengan misi pencarian gadis yang dimahukan yang bukan sahaja tertumpu kepada paras rupa semata-mata.

Malah kriteria paling penting dititikberatkan adalah bijak dan rupawan serta berbakat sebagai syarat menjadi bakat pelapis dalam bidang hiburan. Atas sebab itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk berkongsi misi yang sama untuk mencungkil lebih ramai bakat baharu.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof hadir memberi sokongan kepada pertandingan anjuran akhbar sisipan hiburan paling popular, Pancaindera di dalam akhbar nombor satu dalam negara, Mingguan Malaysia itu.

Organisasi hub hiburan seranta, Media House Entertainment (MHE) bertindak sebagai pengendali program tahunan berkenaan yang telah melahirkan ramai pelapis dalam bidang hiburan. Cabang seni lakonan, nyanyian dan pengacaraan antara yang diberi perhatian dalam hal ini.

Majlis kerjasama tersebut menyaksikan pihak AGAPE yang diwakili oleh Pengarah Pemasarannya, Samsul Kamal Ariffin menyerahkan logo Gadis Panca AGAPE 2019 kepada Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MHE, Datuk Seri Zaienal Abidin Omar.

“AGAPE dikenali sebagai syarikat barangan kesihatan dan kecantikan. Kita sentiasa menanam impian untuk menggilap bakat-bakat ini untuk menjadi ikon usahawan yang terdiri daripada golongan belia.

“Dengan kerjasama ini secara tidak langsung dapat memupuk minat usahawan muda ini untuk menceburi bidang perniagaan. Dengan semangat berdaya saing dan sokongan daripada pihak kementerian, kita yakin usaha ini akan menjadi semakin mudah dan mencari misi,” kata Samsul.

Seiring dengan misi AGAPE, program yang berlangsung ini mampu menepati visi syarikat AGAPE yang memajukan kehidupan yang unggul melalui kesejahteraan, kesihatan dan kewangan.

Jalinan kerjasama yang dibina bersama pihak penganjur juga dilihat  banyak kelebihan kepada pihaknya untuk kekal bersaing dalam pasaran sebagai jenama unggul untuk produk kecantikan dan kesihatan.