Adam yang sebelum ini pernah menayang sebahagian tubuhnya dalam Instagram mengaku rupa dan bentuk tubuh yang menarik tidak menjamin apa-apa termasuk dalam soal kerjaya.

“Saya akui ada sesetengah orang berpendapat saya mengejar populariti dengan rupa dan fizikal, bukannya bakat. Sejujurnya saya tidak suka orang cakap begitu. Ini kerana saya masuk industri kerana minat dan mahu menjual bakat sebagai pelakon.

 

“Sebagai pelakon mestilah saya mahu dikenali kerana bakat dan kepelbagaian karakter yang dimainkan dalam mana-mana naskhah.

“Bagi saya rupa seseorang tidak akan menjamin apa-apa. Walaupun faktor luaran itu penting, tetapi bagi saya ini semua soal rezeki.

“Selalu saya dengar orang cakap saya boleh pergi jauh sebab ada rupa. Sebenarnya tidak sama sekali. Kalau nak tahu sebenarnya saya terpaksa menunggu selama enam tahun untuk dikenali pada hari ini,” katanya yang tersenarai sebagai finalis kategori Pelakon Baharu Popular dalam Anugerah Bintang Popular 2019 (ABP).

Adam juga melihat penantiannya selama enam tahun untuk dikenali adalah sesuatu yang berbaloi. Baginya, cepat atau lambat popular itu bukan alasan untuk dia berputus asa untuk menjadi pelakon yang berjaya.

“Selagi Tuhan bagi saya akal untuk berfikir, saya perlu berusaha mendapatkan apa yang diimpikan. Jadi, tiada istilah terlambatpun. Ramai lagi artis lain yang menunggu lama jika nak dibandingkan dengan saya.

 

“Semua ini baru permulaan bagi saya untuk terus mengatur langkah dalam industri. Apa yang penting saya tidak boleh berputus asa,” luahnya lagi yang pernah berlakon dalam drama Dendam Aurora, Seharum Mawar, Duda Pujaan Dara, Puteri Yang Ditukar, Sejuta Rasa Buat Adelia dan banyak lagi.

Terima jodoh Sweet Qismina

Majoriti peminat suka menjodoh-jodohkan Adam dengan pelakon cantik Sweet Qismina. Ramai yang menganggap mereka kelihatan seperti pinang dibelah dua. Sama cantik. Sama padan.

“Saya akui memang kami sedang berkawan rapat. Saya sendiripun tidak sorok apa-apa daripada peminat dan semua orang termasuk dalam media sosial.

“Kami sedang mengenali hati budi masing-masing. Kalau betul dia jodoh saya, saya tidak menolaknya,” jelas Adam yang berserah kepada ketentuan Tuhan dalam hubungannya dengan Sweet.

Baginya, gosip cinta yang melibatkan mereka dianggap sebagai adat resam menjadi artis tidak boleh lari daripada gosip.

“Saya tidak rimas dengan gosip ini. Tiada masalahpun. Dalam masa yang sama saya tidak mencampuradukkan soal kerja dan peribadi. Jadi,selagi pandai seimbangkan kedua-duanya, rasanya tiada apa-apa masalah,” katanya lagi.